Thursday, 26 July 2012
Artikel Pilihan: HADIS PALSU BULAN REJAB, SYAABAN (Bahagian 3)
Mohd Asri b. Zainul
Abidin
(moasriza@yahoo.com)
Sebenarnya hadith sahih mengenai kebaikan malam nisfu Syaaban itu memang
ada, tetapi amalan-amalan tertentu khas pada malam tersebut adalah palsu.
Hadith yang boleh dipegang dalam masalah nisfu Sy`aaban ialah:
“Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia
ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang
bermusuh (orang benci membenci)" (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan
lain-lain). Al-Albani mensahihkan hadith ini dalam Silsilah al-Ahadith
al-Sahihah. (jilid 3, .m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma`arf, Riyadh).
Hadith ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan malam berkenaan. Oleh
itu amalan-amalan tertentu pada malam tersebut seperti baca Yasin, solat-solat
tertentu adalah bukan ajaran Nabi s.a.w. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam
menjawab soalan berhubung dengan Nisfu Syaaban:
“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa
mereka berhimpun di masjid pada untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca
do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri
orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam
tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua
raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak
bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah
dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya
satu do`a yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga
bercanggahan dan bertentang maknanya...perhimpunan (malam nisfu Syaaban)
seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang
Islam adalah bid`ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar
yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala
keburukan itu ialah bid`ah golongan selepas mereka, dan setiap yang
diadakan-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah itu sesat dan setiap yang
sesat itu dalam neraka." (Dr. Yusuf al-Qaradawi, jilid 1, m.s. 382-383,
cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).
Inilah kenyataan Dr. Yusuf al-Qaradawi, seorang tokoh ulama umat yang
sederhana dan dihormati. Namun dalam masalah ini beliau agak tegas kerana ianya
ternyata bercanggah dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w.
Justeru itu hadith-hadith palsu mengenai Rejab dan Syaaban ini hendaklah
dihentikan dari disebarkan ke dalam masyarakat. Kita perlu kembali kepada agama
yang tulen. Hasil dari memudah-mudahkan dalam hal seperti ini maka muncullah
golongan agama yang suka mendakwa perkara yang bukan-bukan. Dengan menggunakan
nama agama segala rekaan baru dibuat untuk kepentingan diri dan kumpulan. Islam
tidak pernah memberi kuasa kepada kepada golongan agama, atau sesiapa sahaja
untuk mendakwa apa yang dia suka kemudian menyandarkannya kepada agama. Agama
kita rujukannya ialah al-Quran dan al-Sunnah yang pasti kesabitannya mengikut
yang diputuskan oleh para ulama hadith. Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad
Abu Syahbah (seorang ulama hadith al-Azhar):
“Masih ada para penceramah yang tidak ada ilmu hadith, samada ilmu riwayat
atau dirayah (mengenai teks hadith). Mereka hanya membaca hadith apa
yang mereka hafal dan
dari tulisan-tulisan tanpa mengetahui kedudukan hadith tersebut. Apa yang
mereka pentingkan hanyalah reda orang ramai. Lalu mereka menyebut perkara yang
berlebih-lebih, pelik dan ajaib yang Islam tiada kaitan dengannya. Mereka ini
sepatutnya dihalang dari berceramah, memberi nasihat dan bertazkirah."
(Abu Syahbah, al-Wasit fi `Ulum wa al-Mustalah al-Hadith, m.s. 322, cetakan:
Dar al-Fikr al-`Arabi, Kaherah)
Penulis menyeru diri sendiri, para penceramah, ustaz-ustaz, media
elektronik dan cetak juga semua pihak yang membaca sesuatu hadith memastikan
kesahihannya dahulu. Semoga Rejab dan Syaaban tahun ini tidak dibaluti dengan
pembohongan terhadap Nabi s.a.w.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


































