Friday, 27 July 2012
HARI TUA YANG GEMILANG (Bahangian 2)
Bagi generasi muda, mereka masih bergantung harap kepada golongan tua dalam
memberikan nasihat dan tunjuk ajar dalam mengharungi liku-liku kehidupan yang
penuh mencabar ini. Tanpa tunjuk ajar dan nasihat dari mereka, generasi muda
akan mudah goyah dan diperalatkan oleh anasir luar yang mempunyai niat yang
jahat. Jika ini berlaku, keharmonian sebuah negara boleh tergugat. Oleh itu,
golongan tua hendaklah terus membimbing golongan muda berdasarkan pengalaman
mereka agar halatuju hidup golongan muda ini terjamin dan lebih bermakna.
Di samping itu, warga tua juga sebenarnya boleh menyumbang sedikit tenaga
dengan melakukan kerja-kerja yang bersesuaian dengan kemampuan mereka. Contohnya,
seorang bekas guru boleh mengajar kelas tambahan kepada pelajar-pelajar di
kawasan kejirannannya ataupun seorang profesor boleh menulis artikel-artikel
ilmiah yang bersesuaian dengan bidangnya agar tulisan beliau itu dapat
dijadikan bahan rujukan oleh masyarakat umum.
Bukan itu sahaja, bekas-bekas guru agama boleh juga mengajar bacaan
al-Quran kepada anak-anak di sekitar rumahnya. Bagi yang mempunyai kemahiran,
misalnya mahir bertukang, melukis atau menjahit, boleh menggunakan kemahiran
itu untuk mendapatkan sedikit pulangan.
Beberapa contoh yang disebutkan di atas hanyalah beberapa saranan yang
boleh dijadikan panduan bagi warga emas untuk terus memberikan sumbangan kepada
negara, bangsa dan agama. Penulis yakin
golongan ini lebih bijaksana dalam menentukan apa yang ingin mereka sumbangkan
kepada masyarakat sekeliling dalam menelusuri hari tua mereka. Sumbangan yang diberikan itu, walaupun
kelihatannya kecil namun golongan ini tidak perlulah berasa rendah diri atau
merasakan usahanya sia-sia kerana semua yang besar dan hebat itu bermula dari
yang kecil. Sikit-sikit lama-lama jadi
bukit, insyaAllah, sumbangan
yang diberikan itu
akan mempunyai impak yang besar di kemudian hari.
Walaupun begitu, mungkin ada sesetengah warga tua yang berpendapat bahawa
masa tua ini adalah masa untuk mereka berehat setelah sekian lama bekerja atau
membesarkan anak-anak. Namun begitu
pendapat sebegini tidak tepat kerana ia akan hanya mensia-siakan kebolehan dan
ilmu yang mereka ada. Sedangkan ilmu di
dada mereka itu amat berguna dan diperlukan dalam membantu membangunkan
negara. Lagipun, ramai yang berpendapat
bahawa jika golongan warga emas ini hanya mahu berehat, mereka akan lebih mudah
‘sakit'.
Untuk menjamin sumbangan yang lebih berkesan, kesihatan warga tua ini
perlulah diberikan perhatian. Di samping
itu, penjagaan makanan dan pengambilan makanan tambahan (supplementary food)
juga adalah amat digalakkan. Nabi
Muhammad s.a.w. sendiri amat prihatin dengan apa yang Baginda makan kerana
sesuatu yang dimakan itu akan menjadi darah daging dan seterusnya mempengaruhi
tingkah laku dan pemikiran seseorang.
Dalam masa yang sama, golongan warga emas ini perlulah sentiasa bersikap
terbuka, senang didekati dan bersedia bertukar-tukar idea dengan golongan muda
agar percambahan ilmu antara mereka dan golongan muda dapat berjalan dengan lancar
dan berkesan.
Sebagai kesimpulan, proses penuaan merupakan satu perkara semulajadi. Tidak ada sesiapapun yang dapat lari dari
proses ini. Jadi, elakkanlah diri anda
dari menjadi sedih atau sensitif jika orang lain mengatakan yang anda kelihatan
tua kerana semua orang akan melalui proses penuaan itu. Walaupun meningkat usia, sebenarnya kita
masih mampu memberikan sumbangan-sumbangan yang tertentu kepada bangsa, agama
dan negara. Oleh itu hadapilah usia emas
anda dengan penuh gemilang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


































