Saturday, 28 July 2012

Hukum Menyembunyikan Kebenaran (Bahagian 3)

0 comments




HUKUM MENERIMA UPAH/GAJI DARI MENGAJAR SYARIAH

Para ulamak dahulu mengharamkan pengambilan upah dari mengajar al-Quran dan ilmu agama. Pengharaman ini di dasarkan kepada firman Allah:

Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah..

Ayat di atas memerintahkan agar ilmu itu disebarkan dan tidak boleh disembunyikan. Namun para ulamak mutakhirin menghalalkan pengambilan upah terhadap pekerjaan mengajar syariat Allah.

Mengapa hukum ini berubah?

Kerana mereka melihat bahawa manusia sudah mula memandang ringan dan meremehkan pendidikan agama, serta mengabaikannya. Mereka sentiasa menyibukkan diri dengan urusan-urusan dunia serta hanyut dengan kemewahan. Kesiibukan ini sudah tentu akan memalingkan mereka dari mempelajari Kitabullah dan ilmu-ilmu agama. Ini akan mengakibakan pupusnya penghafal-penghafal al-Quran dan lenyapnya ilmu-ilmu agama dari dada orang Islam. Dengan situasi begini, para ulamak mutakhirin memfatwakan boleh mengambil upah/gaji dari pekerjaan mengajar al-Quran dan ilmu-ilmu agama. Malahan sebahagian dari mereka mengatakan bahawa mengambil upah/gaji dari mengajar agama adalah wajib bagi para pemelihara ilmu agama.

Jika di Malaysia, sekolah agama rakyat dan sekolah-sekolah agama lainnya dibangunkan adalah bertujuan untuk memelihara ilmu-ilmu syariat. Juga sebagai merealisasikan janji Allah yang akan memelihara al-Quran dari sebarang kerosakan, penyelewengan dan kepupusan. FirmanNya:

Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.

Masyarakat setempat berkewajipan sama-sama memelihara keutuhan dan keteguhan tempat-tempat pengajian ilmu agama dari runtuh dan lenyap. Dari sinilah akan lahir para ulamak yang akan menyambung perjuangan ulamak sebelumnya menyebarkan ilmu-ilmu agama. Mereka ini adalah pemelihara-pemelihara syariat Allah.

Berilah sokongan. Hulurkanlah tangan untuk dijadikan sebagai penongkat agar tempat-tempat pengajian ini tidak terus roboh. Dengan penjelasan di atas, dapatlah kita gambarkan betapa besarnya pahala dan ganjaran mereka yang memberi dana atau memberikan dokongan untuk menghidupkan terus pengajian syariat  Allah. Sebagai upaya merealisasikan janji Allah yang mahukan al-Quran ini terus terpelihara.

                  -----------------------

Dapat kita lihat bahawa para ulamak dahulu memandang bahawa ilmu syariat itu wajib disebarkan, tidak boleh disembunyikan. Oleh itu mereka mengharamkan pengambilan upah terhadap usaha mengajar dan menyebarkannya. Manakala ulamak mutakhirin memandang penghafal al-Quran dan ilmu agama akan pupus dengan kecenderungan manusia mengejar dunia serta mengabaikan  al-Quran dan ilmu agama. Untuk menutup agar perkara itu tidak berlaku, mereka memandang bahawa pengambilan upah/gaji atas usaha mengajar dan menyebarkan ilmu adalah dibenarkan. Ia berdasarkan sadduz zaraI dan kemaslahatan umum.

                  ---------------------
Kesimpulan:

1. Pendeta Yahudi dan Nasrani mempunyai sikap menyembunyikan kebenaran yang ada di dalam kitabn-kitab mereka.
2. Umat Islam diharamkan menyembunyikan ilmu syariat.
3. Para ulamak diberikan satu tanggungjawab besar dalam menyebarkan ilmu syariat.
 4. Ulamak mutakhirin memandang sebagai boleh mengambil upah/gaji dari usaha mengajar ilmu agama.

Wallahu alam

Rujukan

Al-Quran
Tafsir Ibnu Kathir Libni Kathir
Tafsir al-Qurthubi Lil Qurthubi
Tafsir Ayatil Ahkam Lishabuni

Leave a Reply

Labels