Thursday, 26 July 2012
Hutang Wajib Dilangsai Walaupun Sudah Meninggal
Siti Fatimah Binti Abdul Rahman
Fellow Kanan (IKIM)
23/02/2005
Berkaitan
pinjaman kewangan, pada dasarnya, Islam tidak menggalakkan umatnya berhutang.
Perkara ini dijelaskan dalam hadis daripada Uqbah bin 'Amir yang bermaksud:
“Janganlah kalian membuat takut jiwa selepas ketenangannya.” Mereka
berkata: “Apa itu wahai Rasulullah?” Beliau bersabda: “Hutang.”
Itulah sebabnya, umat Islam diajarkan sepotong doa yang bermaksud:
“Ya Allah! Aku berlindung kepada-Mu daripada kegundahan dan kesedihan,
daripada kelemahan dan kemalasan, daripada sifat pengecut dan bakhil, daripada
kesempitan hutang dan penindasan orang.”
Bagaimanapun, dalam keadaan tertentu, berhutang itu tidak dapat dielakkan. Dalam keadaan ini,
Allah menggariskan dengan terperinci cara atau adab berkaitan hutang-piutang.
Dalam ayat 282, Surah al-Baqarah dinyatakan dengan panjang lebar betapa
kalau hendak memberi dan mengambil hutang, jumlah dan tempohnya membayar balik
perlu dituliskan berserta dua saksi.
Dalam ayat berikutnya pula, dinyatakan bahawa sekiranya tidak ditulis pun,
orang yang berhutang hendaklah menjelaskan hutangnya kerana Allah mengetahui
apa yang mereka lakukan.
Dalam kata lain, walaupun tanpa bertulis dan saksi, Allah menjadi saksi
kepada transaksi mereka itu.
Membayar balik hutang adalah sesuatu yang wajib dilakukan sehingga harta
orang yang sudah meninggal dunia pun perlu ditolakkan hutang-piutang mereka
terlebih dulu, sebelum diagihkan kepada waris. Hal ini disebut dalam ayat 11,
Surah an-Nisa'.
Tidak cukup dengan firman Allah dalam al-Quran, penekanan kepada
menjelaskan hutang ini disebutkan dalam hadis Rasulullah.
Contohnya, sabda Nabi bermaksud: "Diampuni semua dosa orang yang mati
syahid kecuali hutang." (Hadis riwayat Muslim).
Kita maklum bahawa syuhada dijanjikan syurga. Namun, hadis ini menunjukkan
bahawa apa yang menghalang mereka daripada masuk syurga adalah hutang yang
tidak dijelaskan.
Itu syuhada. Jika mereka pun wajib membayar hutang, apa lagi kita manusia
biasa.
Islam bukan saja mewajibkan umatnya membayar hutang, malah menjanjikan
bahawa kalau berhutang dengan niat untuk membayar, Tuhan akan memudahkan kita.
Sebaliknya, kalau berhutang dan berniat tidak mahu membayar, maka Allah
Maha Kaya dalam perhitungan-Nya. Perkara ini dijelaskan dalam sabda Rasulullah
yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud:
“Sesiapa yang berhutang dengan niat untuk membayar balik, Allah akan
membayarkan. Tetapi, jika sesiapa berhutang dengan niat menyeleweng, Allah akan
musnahkan harta bendanya."
Maksud ayat ‘Allah akan
membayarkan’ adalah Allah akan memudahkan rezeki orang itu agar dia dapat
membayar hutangnya.
Jadi, jelas betapa Islam mewajibkan umatnya membayar hutang. Pada hari ini,
kita berhadapan dengan masalah bekas pelajar institusi pengajian tinggi tidak
membayar balik hutang pinjaman pendidikan yang mereka terima.
Mengikut laporan, daripada RM7 bilion yang dikeluarkan untuk tujuan itu, hanya
RM93 juta yang berjaya dikutip semula. Ia bermakna tidak sampai 14 peratus
hutang dapat dikumpul semula. Perkara ini menjejaskan usaha Perbadanan Tabung
Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk memberi pinjaman kepada pelajar baru
sehingga mereka terpaksa meminjam daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
Biasanya yang meminjam adalah pelajar Melayu. Jadi, mengapa kita berhadapan
dengan masalah kegagalan mereka membayar balik pinjaman, sedangkan Islam begitu
menekankan perkara ini?
Membayar balik pinjaman pendidikan bukan satu masalah baru. Suatu ketika
dulu, Mara juga menghadapi masalah sama sehingga perlu mengiklankan nama mereka
yang liat membayar hutang di akhbar. Peminjam Mara juga Melayu.
Malah, saya pasti bukan pinjaman itu saja yang bermasalah dari segi
pembayaran balik pinjaman. Banyak lagi hutang lain menerima nasib yang sama,
termasuk hutang kad kredit dan pinjaman peribadi.
Akibatnya, dalam kes pinjaman peribadi, penjamin pula yang terpaksa
menanggung bebannya. Itu belum dikira hubungan baik bertukar buruk antara
peminjam dan penjamin yang mahu dielak oleh Islam.
Peminjam ini mungkin daripada kita sendiri, pasangan, anak, adik-beradik,
saudara-mara atau kawan kita. Jika yang meminjam, jelaskan pinjaman itu.
Sebaliknya, jika yang meminjam itu adalah orang yang dikenali, maka menjadi
tanggungjawab kita yang tahu hukum untuk mengingatkan mereka kewajipan membayar
hutang. Ia adalah dakwah yang paling mudah. Dalam pada itu, ia boleh menjadi
satu dosa jika kita tidak mengingatkan mereka mengenainya.
Sebagai satu agama yang begitu berkasihan belas dan berperikemanusiaan,
Islam juga menggalakkan orang yang berhutang untuk menghalalkan hutang mereka.
Malah, disebutkan dalam ayat 280, Surah al-Baqarah bahawa menghalalkan hutang
ini adalah lebih baik untuk kita.
Namun, dalam konteks kenyataan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bahawa
‘pembangunan sumber manusia soal hidup mati negara Islam’, maka tidak wajar untuk
kita mengharapkan kerajaan untuk menghalalkan hutang pelajar ini.
Kerajaan perlukan wang itu untuk memberi pendidikan kepada lebih ramai
penuntut termasuk yang Islam agar kapasiti mental dan intelek mereka dapat
dibangunkan demi kemajuan dan kelangsungan umat Islam itu sendiri.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)


































