Monday, 4 July 2011

Parut dan Puting Leper

0 comments
Pakar Sakit Puan




Soalan


Saya berumur 24 tahun dan mempunyai puting leper (inverted). Saya mengalami perkara ini sejak berumur 12 tahun lagi (sejak baligh). Adakah keadaan puting ini satu perkara biasa di Malaysia? 

Disebabkan keadaan ini, saya pernah mengalami jangkitan bakteria apabila kawasan puting payudara saya membengkak dan berwarna kemerah-merahan. Namun, setelah berjumpa doktor, doktor itu membuat hirisan pembedahan kecil sebanyak dua kali dan meng–gunakan jarum halus untuk menyedut keluar cecair yang mengandungi bakteria dari kawasan terbabit

Alhamdulillah, sejak peristiwa tiga tahun lalu itu, saya tidak mengalami apa-apa masalah berkaitan puting leper saya. Namun apa yang merisaukan saya ialah hirisan kecil yang dilakukan doktor itu meninggalkan kesan parut dan saya bakal berkahwin tidak lama lagi. Saya risau mengenai penerimaan bakal suami mengenai keadaan puting payudara dan parut itu.

Adakah sebarang cara untuk saya ‘membetulkan’ kembali puting leper itu? Adakah keadaan puting itu akan kekal selama-lamanya?


Jawapan

PUTING leper atau inverted adalah suatu keadaan yang bukan saja berlaku di Malaysia tetapi juga di negara lain, malah ia ada dibincangkan beberapa kali dalam ruangan ini sebelumnya.

Ada yang mengalami masalah puting payudara leper seperti anda. Memandangkan terdapat ruang lekuk, peluh, daki atau kotoran boleh berkumpul dan jangkitan boleh berlaku seperti yang anda alami.

Parut pembedahan sama seperti parut yang lain, anda hanya perlu menjelaskan kepada suami mengenai keadaan ini. Puting leper bukanlah masalah besar lebih-lebih lagi puting leper kongenital (semula jadi sejak lahir), ia lazimnya tidak membahayakan.

Namun memandangkan ia sejenis kelainan anggota badan, doktor yang memeriksa anda ketika lahir mungkin sudah memeriksa kemungkinan terdapat juga kelainan pada bahagian atau organ lain badan.

Walaupun ia disedari pada usia anda 12 tahun (ketika berlaku tumbesaran payudara sebelum baligh), berkemungkinan anda sememangnya dilahirkan begitu.

Terdapat teknik mudah secara manual untuk membantu ‘mengeluarkan’ puting leper ini. Bagaimanapun, anda harus bersedia kerana ia memerlukan kesungguhan.

Jika ligamen yang menyebabkan ia tertarik ke dalam itu tebal, ia mungkin lambat atau tidak berjaya ditarik keluar, malah mungkin memerlukan pembedahan kecil, itupun jika anda mahukannya.

Teknik manual adalah secara menggunakan dua jari (lazimnya jari telunjuk dan ibu jari) pada sisi bertentangan puting itu di dasar areolar. Kemudian, kedua-dua jari ini dijarakkan secara mengerakkannya ke luar iaitu arah bertentangan.

Ia boleh juga ditambah dengan menggunakan dua jari tangan sebelah lagi satu untuk cuba menarik puting terbabit sementara jari tadi dijarakkan.

Anda mungkin ingin berjumpa doktor untuk demonstrasi teknik ini. Hasilnya, ia mungkin berjaya dikeluarkan sama ada sebahagian atau keseluruhannya, ia mungkin juga tidak berjaya. Apapun, puting leper tidak memberi masalah untuk penyusuan badan.





Sumber : Doktor Adilah Ahmat

                 Pakar Perunding Perbidanan & Sakit Puan dan Rawatan Kesuburan/IVF,
                 Hospital Pantai Bangsar dan Hospital Pusrawi Jalan Tun Razak Kuala Lumpur.

Dari meja pengarang : dalamcantik.com

Anda boleh menghantar soalan atau cadangan topik ke email dalamcantik@gmail.com (maklumat anda akan dirahsiakan).



 

Leave a Reply

Labels