Saya pernah berjumpa dengan doktor sakit puan dan masalah seperti kekejangan itu tidak mendapat jawapan. Saya kemudian diberi ubat hormon provera bagi membetulkan tempoh haid. Kini haid saya sudah stabil, tetapi masalah sakit seperti kekejangan masih ada.
Adakah ini disebabkan keadaan rahim atau saya mengalami masalah lain sehingga melambatkan saya untuk hamil?
Sukar untuk memberitahu dengan pasti sama ada sakit yang dialami itu berpunca daripada rahim kerana organ lain seperti tiub fallopio, ovari, pundi kencing, usus dan ruang peritoneum juga berada berhampirannya, lebih-lebih lagi jika berlaku komplikasi perletakan sesama organ.
Senggugut yang dialami setelah haid keluar (hari pertama dan seterusnya) mungkin tiada penyakit dan hanya berkait dengan tumpuan darah haid di dalam rahim. Bagaimanapun, senggugut yang bermula sebelum haid keluar mungkin ada kaitan dengan penyakit misalnya endometriosis. Malah, senggugut ini boleh berterusan walaupun haid sudah berhenti.
Pada masa sama, haid yang tidak teratur juga boleh disebabkan oleh gangguan ovulasi yang akan mengganggu kesuburan. Hormon yang diberikan bertujuan menggantikan kekurangan hormon progesteron dalam seseorang yang berlaku akibat ketiadaan ovulasi (pengeluaran telur) pada kitaran terbabit.
Eloklah anda mendapatkan pemeriksaan pakar sakit puan.
Pakar Perunding Perbidanan & Sakit Puan dan Rawatan Kesuburan/IVF,
Hospital Pantai Bangsar dan Hospital Pusrawi Jalan Tun Razak Kuala Lumpur.
































