Friday, 25 May 2012
KISAH PENDITA YANG INSAF
Ibrahim al-Khawas ialah seorang wali Allah yang terkenal keramat dan
dimakbulkan segala doanya oleh Tuhan. Beliau pernah menceritakan suatu
peristiwa yang pernah dialaminya. Katanya, "Menurut kebiasaanku, aku
keluar menziarahi Mekah tanpa kenderaan dan kafilah. Pada suatu kali, tiba-tiba
aku tersesat jalan dan kemudian aku berhadapan dengan seorang rahib Nasrani
(Pendita Kristian)."
Bila dia melihat aku, dia pun berkata, "Wahai rahib Muslim, bolehkah
aku bersahabat denganmu?"
Ibrahim segera menjawab, "Ya, tidaklah aku akan menghalangi kehendakmu
itu."
Maka berjalanlah Ibrahim bersama dengannya selama tiga hari tanpa meminta
makanan sehinggalah rahib itu menyatakan rasa laparnya kepadaku, katanya,
"Tiadalah ingin aku memberitakan kepadamu bahawa aku telah menderita
kelaparan. Kerana itu berilah aku sesuatu makanan yang ada padamu."
Mendengar permintaan rahib itu, lantas Ibrahim pun bermohon kepada Allah
dengan berkata, "Wahai Tuhanku, Pemimpinku, Pemerintahku, janganlah engkau
memalukan aku di hadapan seteru engkau ini."
Belum pun habis Ibrahim berdoa, tiba-tiba turunlah setalam hidangan dari
langit berisi dua keping roti, air minuman, daging masak dan tamar. Maka mereka
pun makan dan minum bersama dengan seronok sekali.
"Sesudah itu aku pun meneruskan perjalananku. Sesudah tiga hari tiada
makanan dan minuman, maka di kala pagi, aku pun berkata kepada rahib itu,
"Hai rahib Nasrani, berikanlah ke mari sesuatu makanan yang ada kamu. Rahib
itu menghadap kepada Allah, tiba-tiba turun setalam hidangan dari langit
seperti yang diturunkan kepadaku dulu."
Sambung Ibrahim lagi, "Tatkala aku melihat yang demikian, maka aku pun
berkata kepada rahib itu - Demi kemuliaan dan ketinggian Allah, tiadalah aku
makan sehingga engkau memberitahukan (hal ini) kepadaku."
Jawab rahib itu, "Hai Ibrahim, tatkala aku bersahabat denganmu, maka
jatuhlah telekan makrifah (pengenalan) engkau kepadaku, lalu aku memeluk agama
engkau. Sesungguhnya aku telah membuang-buang masa di dalam kesesatan dan
sekarang aku telah mendekati Allah dan berpegang kepada-Nya. Dengan kemuliaan
engkau, tiadalah dia memalukan aku. Maka terjadilah kejadian yang engkau lihat
sekarang ini. Aku telah mengucapkan seperti ucapanmu (kalimah syahadah)."
"Maka sukacitalah aku setelah mendengar jawapan rahib itu. Kemudian aku pun
meneruskan perjalanan sehingga sampai ke Mekah yang mulia. Setelah kami
mengerjakan haji, maka kami tinggal dua tiga hari lagi di tanah suci itu. Suatu
ketika, rahib itu tiada kelihatan olehku, lalu aku mencarinya di masjidil
haram, tiba-tiba aku mendapati dia sedang bersembahyang di sisi Kaabah."
Setelah selesai rahib itu bersembahyang maka dia pun berkata, "Hai
Ibrahim, sesungguhnya telah hampir perjumpaanku dengan Allah, maka peliharalah
kamu akan persahabatan dan persaudaraanku denganmu."
Sebaik sahaja dia
berkata begitu, tiba-tiba dia menghembuskan nafasnya yang terakhir iaitu pulang
ke rahmatullah. Seterusnya Ibrahim menceritakan, "Maka aku berasa amat dukacita
di atas pemergiannya itu. Aku segera menguruskan hal-hal pemandian, kapan dan
pengebumiannya. Apabila malam aku bermimpi melihat rahib itu dalam keadaan yang
begitu cantik sekali tubuhnya dihiasi dengan pakaian sutera yang indah."
Melihatkan itu, Ibrahim pun terus bertanya, "Bukankah engkau ini
sahabat aku kelmarin, apakah yang telah dilakukan oleh Allah terhadap
engkau?"
Dia menjawab, "Aku berjumpa dengan Allah dengan dosa yang banyak,
tetapi dimaafkan dan diampunkan-Nya semua itu kerana aku bersangka baik (zanku)
kepada-Nya dan Dia menjadikan aku seolah-olah bersahabat dengan engkau di dunia
dan berhampiran dengan engkau di akhirat."
Begitulah persahabatan di antara dua orang yang berpengetahuan dan beragama
itu akan memperolehi hasil yang baik dan memuaskan. Walaupun salah seorang
dahulunya beragama lain, tetapi berkat keikhlasan dan kebaktian kepada Allah,
maka dia ditarik kepada Islam dan mengalami ajaran-ajarannya."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)































