Friday, 25 May 2012
PAHLAWAN NERAKA
Suatu hari satu pertempuran telah berlaku di antara pihak Islam dengan
pihak Musyrik. Kedua-dua belah pihak berjuang dengan hebat untuk mengalahkan
antara satu sama lain. Tiba saat pertempuran itu diberhentikan seketika dan
kedua-dua pihak pulang ke markas masing-masing.
Di sana Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat telah berkumpul membincangkan
tentang pertempuran yang telah berlaku itu. Peristiwa yang baru mereka alami
itu masih terbayang-bayang di ruang mata. Dalam perbincangan itu, mereka begitu
kagum dengan salah seorang dari sahabat mereka iaitu, Qotzman. Semasa bertempur
dengan musuh, dia kelihatan seperti seekor singa yang lapar membaham mangsanya.
Dengan
keberaniannya itu, dia telah menjadi buah mulut ketika itu.
"Tidak seorang pun di antara kita yang dapat menandingi kehebatan
Qotzman," kata salah seorang sahabat.
Mendengar perkataan itu, Rasulullah pun menjawab, "Sebenarnya dia itu
adalah golongan penduduk neraka."
Para sahabat menjadi hairan mendengar jawapan Rasulullah itu. Bagaimana
seorang yang telah berjuang dengan begitu gagah menegakkan Islam boleh masuk
dalam neraka. Para sahabat berpandangan antara satu sama lain apabila mendengar
jawapan Rasulullah itu.
Rasulullah sedar para sahabatnya tidak begitu percaya dengan ceritanya,
lantas baginda berkata, "Semasa Qotzman dan Aktsam keluar ke medan perang
bersama-sama, Qotzman telah mengalami luka parah akibat ditikam oleh pihak
musuh. Badannya dipenuhi dengan darah. Dengan segera Qotzman meletakkan
pedangnya ke atas tanah, manakala mata pedang itu pula dihadapkan ke dadanya.
Lalu dia terus membenamkan mata pedang itu ke dalam dadanya."
"Dia melakukan perbuatan itu adalah kerana dia tidak tahan menanggung
kesakitan akibat dari luka yang dialaminya. Akhirnya dia mati bukan kerana
berlawan dengan musuhnya, tetapi membunuh dirinya sendiri. Melihatkan
keadaannya yang parah, ramai orang menyangka yang dia akan masuk syurga. Tetapi
dia telah menunjukkan dirinya sebagai penduduk neraka."
Menurut Rasulullah S.A.W lagi, sebelum dia mati, Qotzman ada mengatakan,
katanya, "Demi Allah aku berperang bukan kerana agama tetapi hanya sekadar
menjaga kehormatan kota Madinah supaya tidak dihancurkan oleh kaum Quraisy. Aku berperang hanyalah
untuk membela kehormatan kaumku. Kalau tidak kerana itu, aku tidak akan
berperang."
Subscribe to:
Post Comments (Atom)































