PERSEDIAAN ASAS
1. Semangat Yang Tinggi
2. Pembacaan Yang Banyak
3. Kefahaman Yang Jelas
4. Ulangkaji Berterusan
5. Keyakinan Diri
Di dalam menghadapi peperiksaan UPSR/PMR/SPM/STPM, satu perkara yang
tidak boleh dilupakan ialah persediaan di peringkat awal secara
berterusan sehingga tiba masa yang ditetapkan dan akan menjadi lebih
berkesan sekiranya kaedah pembelajaran yang betul diamalkan. Namun,
ramai juga pelajar yang tidak dapat menghadapi peperiksaan dengan baik
walaupun telah menumpukan banyak masa di saat awal hinggalah ke
akhirnya. Malahan ramai juga yang pada saat-saat akhirnya menjadi putus
asa.
Untuk menjawab pertanyaan ini cubalah bertanya kepada diri anda tentang :-
1. Adakah anda telah menghabiskan topik-topik penting ?
2. Adakah anda telah memahami apa yang diajar oleh guru atau dibaca sendiri ?
3. Adakah anda menhadapi pelajaran dengan semangat yang tinggi ?
4. Adakah anda berterusan belajar dan meneliti soalan-soalan lepas ?
5. Adakah anda mempunyai keyakinan diri untuk menjawab soalan nanti ?
UJIAN BULANAN DAN PEPERIKSAAN PENGGAL
Ramai pelajar bersikap acuh tak acuh di dalam menghadapi ujian
bulanan dan peperiksaan penggal dan ada yang menganggapnya tidak
penting. Pada hal ujian dan peperiksaan ini boleh mempengaruhi keputusan
peperiksaan nanti. Akibatnya ramai pelajar yang gagal dan mendapat
markah yang rendah di dalam setiap ujian /peperiksaan.
Sikap seperti ini hendaklah dikikiskan. Walaupun demikian, seandainya
anda gagal di dalam ujian, jadikanlah ia suatu pengajaran untuk lebih
memahami dan bersungguh-sungguh mengulangkaji pelajaran. Kegagalan di
dalam ujian mungkin disebabkan oleh beberapa faktor seperti :-
a) Kurang memahami apa yang diajar
b) Tidak mengambil perhatian yang serius terhadap pelajaran.
c) Tidak mengulangkaji pelajaran selepas waktu persekolahan.
KEARAH MEMBENTUK KEYAKINAN
Keyakinan menghadapi peperiksaan hanya boleh diperolehi oleh pelajar
yang sudah betul-betul membuat persiapan yang rapi. Antara persiapan
yang perlu diberi perhatian ialah :-
a) Habis mengulangkaji topik-topik yang disoal.
b) Mengingati dengan baik nota-nota yang penting.
c) Mengetahui bentuk-bentuk soalan yang akan disoal.
d) Bertawakkal kepada Allah S.W.T.
BEBERAPA PERINGATAN KEPADA PELAJAR
- Tidak keterlaluan membaca sehingga kurang tidur.
- Belajar dengan hati yang tenang dan lapang. Pastikan semua kerja
atau masalah diselesaikan terlebih dahulu sebelum anda memulakan
pembelajaran/study.
- Disiplinkan diri anda. Pastikan anda tidak membuang masa dengan
kerja-kerja yang sia-sia. Tepatilah masa belajar yang anda telah
tetapkan dan pastikan anda ada masa untuk merehatkan otak secukupnya.
Elakkan daripada memaksa diri anda untuk belajar sekiranya anda letih
dan mengantuk.
- Elakkan diri anda daripada membaca dan menghafal matematik.
Sebaliknya cubalah memperbanyakkan latihan mengira dan memahami formula
dan konsepnya.
- Berbincang dengan rakan yang lebih memahami dan elakkan daripada sifat malu bertanya.
- Elakkan daripada sifat menangguhkan sesuatu kerja yang diberi oleh
guru serta jauhkan sikap mengambil jalan mudah dengan meniru kerja kawan
tanpa memahami akan maksud dan konsepnya.
- Elakkan mengumpulkan nota yang diberikan oleh guru sehingga bertimbun barulah hendak mengulangkajinya.
Sesungguhnya seseorang pelajar akan mencapai tahap penguasaan yang
maksimun jika dia mampu mengaplikasikan teknik dan kaedah belajar yang
betul. Setiap pelajar mempunyai cara belajar yang berbeza, janganlah
meniru gaya belajar orang lain yang tidak sesuai dengan kita. Nota ini
sebagai panduan sahaja, ubahlah ia agar sesuai dengan teknik dan cara
anda sendiri. InsyaAllah kejayaan itu milik semua.