Sunday, 8 July 2012
Amalan Yg Harus Kita Lakukan (Pagar Diri)
Pagar Diri
Di bawah ini di
nyatakan cara cara atau amalan yang boleh dilakukan untuk memagar diri anda
dari perbuatan jahat tukang sihir atau pengamal ilmu hitam. Sihir mungkin tidak
mengenal siapa anda. Ia boleh menyerang anda.. Ketahuilah cara memagari diri
anda dari sihir dan gangguan syaitan.
Pagar Pertama (1) - Makan
Tamar 'Ajwah dan Tamar Madinah
Amalkan memakan tamar (kurma) 'Ajwah dan jika boleh makan bersama dengan Tamar
Madinah. Sekiranya anda tidak boleh mendapatkan kedua-dua jenis tamar tersebut,
makanlah apa-apa jenis tamar yang ada supaya menepati sabda Rasulullah S.A.W.
yang berbunyi:
"Barangsiapa yang memakan tujuh biji tamar 'Ajwah, dia tidak akan mendapat
sebarang kemudaratan racun atau sihir yang terkena pada hari itu".(Riwayat
al-Bukhari.)
Pagar Kedua (2) -
Berwuduk sebelum tidur
Sihir tidak akan memberi sebarang kesan terhadap seseorang muslim yang mempunyai
wuduk. Setiap muslim yang berwuduk akan sentiasa dikawal ketat oleh para
Malaikat sebagaimana diperintahkan oleh Allah S.W.T. kepada mereka.
Sabda Rasulullah S.A.W: Ertinya: "Sucikanlah jasad-jasad ini mudah-mudahan
Allah akan menyucikan kamu. Kerana sesungguhnya tiada seorang pun dari mereka
yang bersuci terlebih dahulu sebelum tidur, melainkan ada bersamanya seorang
Malaikat. Malaikat tersebut tidak akan pernah terlalai walaupun sedetik untuk
mengucapkan doa: 'Ya Allah!Ampunilah dosa hambaMu ini kerana dia telah tidur
dalam keadaan bersuci.' (Riwayat at Tabraaniy dengan sanad yang baik.)
Pagar Ketiga (3) -
Mengambil berat tentang solat berjemaah
Mengambil berat tentang solat berjemaah akan menjadikan seseorang muslim bebas
serta aman dari gangguan syaitan. Bersikap sambil lewa terhadap solat berjemaah
menyebabkan syaitan akan mengambil peluang untuk mendampingi mereka. Apabila selalu
berdampingan, lama kelamaan ia akan berjaya merasuk,menyihir atau melakukan
kejahatan lain.
Mengikut riwayat Abu Hurairah r.a., Rasulullah S.A.W. telah bersabda: Ertinya:
'Mana-mana kampung mahupun kawasan kawasan hulu yang tidak mendirikan solat
berjemaah meskipun penduduknya cuma tiga orang, nescaya akan didampingi oleh
syaitan. Oleh itu hendaklah dirikan solat berjemaah. Sesungguhnya serigala akan
memakan kambing-kambing yang menyendiri dari puaknya. (Riwayat Abu Daud dengan
sanad yang baik).
Pagar Keempat (4) -
Mendirikan Solat Tahajjud untuk memagarkan diri dari sihir
Bangunlah mengerjakan solat malam dan janganlah mempermudah-mudahkannya. Sifat
mempermudah-mudahkan bangun bersolat malam boleh memberi ruang kepada syaitan
untuk menguasai diri seseorang itu.
Apabila syaitan telah mampu menguasai diri seseorang, maka dirinya adalah
tak ubah seperti bumi yang ketandusan akibat kesan tindakbalas hasil perlakuan
syaitan tersebut.
Ibnu Mas'ud r.a. telah berkata: Rasulullah S.A.W. pernah diberitahu tentang
perihal seorang lelaki yang tidur hingga ke Subuh dengan tidak mengerjakan solat
malam, maka Rasulullah S.A.W. pun bersabda: Ertinya: "Sesungguhnya syaitan
telah kencing di dalam telinganya" (Riwayat al Bukhari dan Muslim).
Pagar Kelima (5) -
Membaca doa perlindungan apabila masuk di dalam tandas
Tandas adalah tempat kotor dan merupakan rumah bagi syaitan. Oleh itu ia
akan mencuba sedaya upaya menggunakan kesempatan yang ada untuk menguasai
seseorang muslim setiap kali orang itu masuk ke tandas. Di dalam sebuah buku seorang
mangsa sihir telah melaporkan bahawa dia pernah memasuki tandas dengan tidak membaca
doa perlindungan. Seketika kemudian dia telah dirasuk oleh syaitan.
Apabila Rasulullah S.A.W mahu memasuki tandas, Baginda akan membaca doa
perlindungan dengan berkata: Ertinya: "Dengan nama Allah. Ya Allah!
Sesungguhnya aku berlindung denganMu dari sebarang kekotoran dan gangguan
syaitan". (Riwayat al Bukhari dan Muslim. Maksudnya adalah berlindung dari
gangguan syaitan-syaitan jantan atau betina)
Pagar Keenam (6) -
Memagar isteri selepas selesai akad nikah
Selepas majlis akad nikah, pada malam pengantin sebelum memulakan adab-adab
berpengantin yang lain, hendaklah suami meletakkan tangan kanannya di atas
ubun-ubun kepala isterinya sambil berdoa:
"Ya Allah, aku memohon kepadaMu kebaikannya dan kebaikan yang telah Engkau
selubungi ke atasnya,dan aku berlindung dari keburukannya dan keburukan yang
telah Engkau selubungi ke atasnya. Ya Allah berkatilah isteriku ini ke atasku
dan lindungilah dirinya dari segala keburukan perbuatan orang-orang yang
dengki, dan perbuatan tukang sihir apabila dia telah melakukan sihir dan dan
perbuatan orang-orang yang suka melakukan tipu daya." (Riwayat Abu Daud
dan menurut al Albaaniy sanadnya baik).
Pagar Ketujuh (7) -
Berwuduk sebelum tidur, membaca ayat-ayat al Kursi dan berzikir kepada Allah
sehingga terlelap.
Dalam satu hadis sahih telah menceritakan bahawa syaitan telah berkata kepada
Abu Hurairah: "Barangsiapa yang membaca ayat-ayat al Kursi sebelum
tidur,dirinya sentiasa di dalam peliharaan Allah manakala syaitan sekali-kali
tidak mampu mendekatinya sehinggalah ke waktu pagi''.
Rasulullah S.A.W. telah bersetuju dengan cerita Abu Hurairah tersebut sambil
berkata: "Ia telah bercakap benar kepada engkau, walhal ia sendiri
sememangnya penipu." (Riwayat al-Bukhari).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)































