Monday, 29 April 2013

Belai Tubuh dengan Pelbagai Jenis Mandian

0 comments

Mandi Susu - untuk kulit cerah berseri


Ternyata susu bukan hanya mampu menyihatkan tubuh badan di samping menjadi sahabat baik tulang, bahkan ia juga bermanfaat dalam mempercantikkan kulit anda.

Mandi susu dapat mempertahankan kulit agar tetap putih berseri, lembut dan kenyal. Tidak hanya itu, dengan mandi susu, ia juga dapat mengurangkan warna kulit yang kehitaman atau gelap akibat proses penuaan. Lihat sahaja kecantikan kulit yang dimiliki oleh 'Cleopatra'. Jangan tidak tahu, rahsia kecantikan Ratu Mesir yang tersohor ini adalah mandi susu.

Susu memiliki kandungan semulajadi 'Beta Hydroxyl Acids' yang bukan hanya dapat mengangkat sel kulit mati tetapi juga dapat melembutkan kulit dan membuatnya bercahaya. Mandi susu dan madu adalah cara mandi kecantikan paling digemari sepanjang masa. Tidak hanya untuk kulit, bahkan baik untuk rambut kerana protein di dalamnya dapat menjadikan rambut berkilau.

Kandungan susu yang dicampur dengan biji-biji gandum pula baik untuk kulit sensitif kerana ia dapat melembutkan dan memberikan kelembapan pada kulit. Selain itu, produk yang mengandungi susu juga dapat digunakan untuk kulit bayi dan di setiap peringkat usia pada anak-anak.

Mandi Garam Gunung - untuk kulit gebu


Tidak ramai tahu bahawa garam gunung terbentuk secara semulajaid sekitar 256 tahun dahulu mempunyai fungsi yang baik terhadap kesihatan. Khasiat garam gunung yang hanya diperoleh di kawasan berbukit sekitar Asia dan Eropah ini dikatakan mampu memulihkan pelbagai penyakit selain menjadi bahan kecantikan alternatif dekad ini.

Rawatan berasaskan garam kini menjadi pilihan di kalangan wanita kerana keberkesanannya menjadikan kulit badan gebu, putih dan bersih selain meningkatkan imunisasi badan seseorang melawan penyakit.

Garam gunung ini kaya dengan tenaga 'bio' (bio-energy) pada getaran 8.7 hertz. Mineral dan zat galian dalam garam ini berbentuk 'ion' yang memudahkan proses serapan mineral dalam tubuh individu. Selain itu, garam ini boleh ditukar kepada bentuk debu dan kepingan kecil yang berperanan mengimbangi asid dan gas yang ada di dalam tubuh seseorang (usus berasid menyebabkan tulang, otot dan saraf terganggu sekaligus menjadi punca lenguh, kebas, sengal dan bisa-bisa badan).

Mandi Wap - untuk kulit halus



Mandi wap bukan sesuatu yang baru bagi orang-orang Melayu kerana sejak lama dahulu ia menjadi di antara cara pengubatan tradisional. Yang membezakan amalan itu dilakukan adalah bertujuan mengubati penyakit dan bukan amalan untuk menjaga kesihatan.

Bagi tujuan kecantikan, mandi wap bukan sekadar dapat menghaluskan kulit pada wajah tetapi juga keseluruhan tubuh. Malah herba-herba yang digunakan dalam rawatan ini membangkitkan keharuman yang melekat pada tubuh sehingga anda kembali ke rumah. Resipi mandi wap herba adalah warisan turun temurun, mengandungi kombinasi rempah ratus, daun dan akar kayu. Adalah baik jika anda dapat melakukannya seminggu sekali.

Mandi Rempah - untuk kesegaran tubuh


Amalan berendam menggunakan rempah-rempah kini menjadi salah satu cara terbaik dalam rangkaian perawatan tubuh. Banyak keuntungan yang boleh didapati dengan mandi 'ala-ala raja' zaman dahulu ini. Selain tubuh dan fikiran menjadi tenang, mandi dengan cara berendam rempah ini juga dapat melancarkan peredaran darah, membantu mengatasi insomnia dan menjaga kulit agar tidak mudah berjerawat serta tetap halus.

Rempah-rempah yang digunakan biasanya dipilih mengikut keperluan dan kesesuaian. Selain itu, rawatan sebegini boleh menggunakan teh herba seperti 'chamomile'. Jika dimasukkan ke dalam air yang hangat, ia akan membantu tubuh mengendurkan otot yang kencang sekaligus menyegarkan fikiran memlalui aromanya. Selain 'chamomile', 'lavender', 'linden flower' atau daun pudina juga boleh digunakan untuk mandian jenis ini. Sebelum memilih, ada baiknya jika anda mengetahui manfaat-manfaat herba-herba tersebut.

Demi hasil yang maksimum, tambahkanlah tiga titis minyak ekstrak tumbuhan, sesuai dengan jenis rempah yang digunakan dan berendamlah selama lebih kurang 20 minit. Kemudian bilas tubuh dengan air bersih.

Sumber : Majalah Rapi





Leave a Reply

Labels