Acapkali kita dilanda krisis ekonomi, namun adakah ia telah mengajar kita agar tidak membazir? Adakah kita telah berjaya mendidik diri agar sentiasa berjimat-cermat dan membuat tabungan untuk kegunaan pada masa diperlukan?
Allah s.w.t memberi ancaman dalam Al-Quran, ayat 27 Surah Al-Isyra’ iaitu:
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk Yang sangat kufur kepada Tuhannya.”
Bagaimana hanya dengan membazir, kita boleh menjadi saudara-saudara Syaitan? Sedarilah bahawa dalam diri Syaitan adanya sifat takabbur, meninggi diri. Manakala perbuatan membazir itu biasanya didasari oleh perasaan merasa mempunyai kelebihan, jika membazir pun tiada apa-apa yang terkurang padanya. Perasaan itu jika dibiarkan boleh menghampiri kepada sifat meninggi diri yang sangat dilarang.
Sama-samalah kita memperbaiki diri, periksa diri kita, adakah kita sering membazir?
Di bawah ini dikongsikan beberapa tips berjimat-cermat ketika di pejabat.
- Matikan PC ketika keluar bermesyuarat dan waktu keluar makan tengahari. Gunakan fungsi hibernatejika ingin mudah menyambung kerja selepas PC dimatikan.
- Matikan PC selepas waktu pejabat, bila pulang ke rumah. Ramai ingin mudah terus sambung kerja esok paginya, tetapi sebenarnya pembaziran telah berlaku lebih 12 jam tanpa PC digunakan.
- Kurangkan tahap kesejukan penghawa dingin. Tidak perlu set terlalu sejuk, tetapi penggunanya sendiri memakai jeket tebal kerana kesejukan.
- Kurangkan penggunaan lampu. Ada pejabat terang-benderang hinggakan untuk satu meja pegawai memerlukan tiga lampu pendaflour panjang yang sebenarnya cukup sekiranya hanya satu saja dihidupkan.
- Tidak mencetak e-mail yang tidak perlu.
- Mencetak menggunakan recycle paper sekiranya cetakan bukan untuk tujuan rasmi.































