Monday, 29 April 2013

Seronoknya Bila Mandi Berdua

0 comments



Rasulullah SAW Mandi Bersama Isteri

Imam Al-Bukhari meriwayatkan yang bermaksud :
"Daripada Aisyah R.Ha berkata : aku sentiasa mandi bersama dengan Nabi SAW daripada satu bekas. tangan kami sama-sama berselisih (ketika menggunakan air dalam bekas itu)" (Sahih Al-Bukhari : hadis no : 253)


Hadis ini menunjukkan bagaimana indah dan romantiknya Nabi SAW dengan isteri-isterinya. Gambaran romantik ini, dirakamkan sendiri oleh Aisyah yang bercerita bagaimana Baginda SAW boleh mandi bersama-sama sehingga tangan mereka berselisih dan berganti-gantian. Mandi yang dimaksudkan dalam perbincangan ini, tidak dikhususkan kepada mandi biasa sahaja, bahkan termasuk juga mandi jinabah atau disebut sebagai mandi wajib.


Dalam hadis riwayat Imam Muslim, ada dinyatakan;
"Aku selalu mandi bersama dengan Rasulullah SAW daripada satu bekas, dan kami ketika itu sedang berjunub." (Sahih Muslim : 482)


Mandi bersama bukan sekadar berada di bilik air bersama-sama sambil mandi-manda. Malah ia disertakan juga dengan aktiviti-aktiviti romantik yang boleh meningkatkan kemesraan dan keseronokan. Nabi SAW sendiri ketika mandi itu, tidak sekadar mandi bersama-sama semata-mata. Aisyah yang mandi bersama Nabi bercerita bahawa ketika sedang Nabi SAW mandi bersama, Baginda SAW merungkai-rungkaikan rambut Aisyah (Sahih Muslim : 498). Demikianlah romantiknya Rasulullah sallallahi 'alaihi wa sallam.


Selain itu, sambil-sambil mandi pasangan suami isteri bolehlah bergurai senda, dan berseronok. Rasulullah sallallahi 'alaihi wa sallam sendiri pernah mandi bersama sambil bergurau-gurau. Mereka berdua bermain-main air, dengan berebut-rebut mengambil air sehinggakan Aisyah dalam suasana sedang berseronok-seronok meminta kepada Nabi agar air itu disimpan untuknya kerana semuanya telah diambil oleh Nabi SAW (Sunan An-Nasai : 239).


Bahkan aktiviti mandi manda bersama ini juga boleh menjadi aktiviti kemesraan intim yang amat menyeronokkan. Dalam suasana berdua dalam satu tempat mandi, dan dalam suasana sejuk itu tentunya suami isteri akan terdorong untuk lebih mesra dan intim. Dalam hal ini, Ummu Salamah pernah bercerita bahawa dia mandi bersama dengan Nabi SAW dan ketika itu Baginda menciumnya. Menurutnya, peristiwa ini berlaku, ketika Baginda sedang berpuasa (Mushad Ahmad : 25355).


Demikianlah hebatnya cinta Rasulullah sallallahi 'alaihi wa sallam. Kita sebagai umatnya amat wajar menjadikannya sebagai petunjuk dan pengajaran. Jika Rasulullah sallallahi 'alaihi wa sallam menyuburkan kasih melalui mandi bersama, mengapa kita tidak boleh lakukannya. Alangkah malangnya jika perasaan malu tidak bertempat menghalang kita untuk mencontohi amalan Rasulullah SAW ini dalam rumahtangga kita sendiri.





Leave a Reply

Labels