Monday, 27 May 2013
Penyokong Johor DT Kini Koma
Penyokong Johor DT Koma Selepas Jatuh Stadium
Seorang penyokong pasukan Johor Darul Takzim (Johor DT) koma selepas terjatuh pada ketinggian 20 meter dari tempat duduk penonton Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di sini, malam kelmarin. Juruelektrik itu dipercayai terjatuh ketika hendak membuka bendera pasukan yang dipasang bersama adiknya. Kejadian menimpa Roshdi Rasiman, 31, berlaku jam 10.45 malam, sejurus Johor DT menewaskan Pahang dalam saingan pertama separuh akhir Piala FA, yang berakhir dengan keputusan 1-0.
Adiknya, Roshanajid, 28, yang berada tidak jauh dari tempat kejadian, bagaimanapun tidak menyedari kejadian menimpa abangnya dan hanya mengetahui peristiwa itu apabila penonton kecoh mengatakan ada orang terjatuh.
Roshanajid berkata, sebelum kejadian dia bersama abangnya berada di tempat duduk penonton menyaksikan perlawanan bola sepak.
Katanya, sejurus perlawanan tamat, Roshdi bangun dan pergi ke belakang tempat duduk untuk membuka ikatan bendera gergasi pasukan Johor DT yang dipasang mereka pada sebatang tiang,” katanya.
“Saya tidak memerhati abang membuka bendera kerana memang sudah menjadi kebiasaan kami memasang bendera tanda sokongan setiap kali menonton perlawanan Johor DT di stadium itu.
“Tanpa mengesyaki sesuatu buruk menimpanya, saya pergi meninjau apabila penonton kecoh mengatakan ada orang terjatuh dan terkejut mendapati mangsa adalah abang saya,” katanya.
Roshanajid bergegas mendapatkan abangnya yang tidak sedarkan diri sebelum sepasukan petugas perubatan yang berada di stadium datang untuk memeriksanya.
Roshdi kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan sehingga lewat petang semalam, belum sedarkan diri dipercayai akibat kecederaan di kepala.
Sumber : Berita Harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)































