Thursday, 6 June 2013
Kamarudin Selamat Disemadi
Jenazah Kamarudin Selamat Disemadi
Jenazah bekas pemain kebangsaan yang juga Penolong Jurulatih Tentera, Kamaruddin Mohd Nor yang meninggal dunia akibat serangan jantung kelmarin, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Panchor, di Kota Bharu, pagi semalam.
Kamaruddin, 57, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur kira-kira jam 6.30 petang kelmarin dan jenazahnya tiba di kediamannya di Kampung Panji, dekat sini jam 8 pagi semalam.
Allahyarham meninggalkan balu, Fatimah Mohd Zaman, 52, dan empat anak, Mohd Kahirul Fitri, 28, Mohd Fakhrul Fariz, 24, Mohd Fakhrul Faiz, 22, dan Fatin Amani, 17.
Turut hadir pada majlis pengebumian itu, Ketua Jurulatih Tentera, B Sathianathan; Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Azman Ibrahim dan legenda bola sepak negara, Dali Omar.
Sathianathan berkata, ketiadaan Kamaruddin adalah satu kehilangan yang besar kepada dunia bola sepak negara dan khususnya kepada pasukan Tentera.
Katanya, beliau akan berusaha merealisasikan harapan arwah Kamaruddin sebelum ini yang mahukan Tentera menjadi sebuah pasukan bola sepak terbaik di negara ini.
"Dia (Kamaruddin) banyak memberi sumbangan dan membantu saya mengendalikan skuad Tentera. Dia bukan saja penolong jurulatih malah kawan karib saya dan saya banyak merujuk kepada dia untuk mengenali cara permainan lawan terutama pasukan Kelantan.
"Kami memerlukan sedikit masa untuk mencari penggantinya," katanya.
Kamarudin yang beraksi di posisi pertahanan kiri skuad kebangsaan dan Kelantan juga adalah pemain termuda pernah diserap ke skuad senior Kelantan pada 1975 pada usia 18 tahun dan mewakili Kelantan hingga penghujung 1980-an.
Sejurus bersara, Allahyarham terbabit dalam bidang kejurulatihan dan pernah melatih Kelantan, Telekom Melaka dan pembantu jurulatih Tentera sejak 2012.
Sementara itu, Fatimah berkata, sehari sebelum meninggal dunia arwah suaminya itu pernah menyatakan hasrat untuk berehat di hospital selepas berasa tidak sihat.
"Saya tidak mengetahui dia ada mengidap sakit jantung sebelum ini. Saya hanya mengetahuinya selepas doktor mengesahkan suami saya menghadapi masalah jantung yang kritikal ketika menerima rawatan di PPUM, semalam (kelmarin)," katanya.
Di Kuala Lumpur, Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) akan menyalurkan sumbangan insurans berjumlah RM31,000 di bawah Skim Perlindungan Insurans Hayat Berkelompok kepada keluarga Allahyarham.
Pegawai Perhubungan Yakeb, Muhammad Aiman Aminul, berkata pemergian Allahyarham Kamarudin satu kehilangan besar buat sukan bola sepak negara.
"Allahyarham ialah seorang wira kerana banyak menabur jasa bukan hanya sebagai pemain tapi juga sebagai jurulatih beberapa pasukan bola sepak Liga Malaysia," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)































