Thursday, 6 June 2013
Koo-Tan Tunjuk Kuasa Lagi
Koo-Tan Tunjuk Kuasa Lagi
Beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong terus menunjukkan ‘kuasa’ mereka sebagai ‘anak emas’ apabila meminta jurulatih beregu lelaki, Paulus Firman, fokus kepada mereka dan satu lagi gandingan, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong saja bagi persiapan ke Kejohanan Dunia di Guangzhou, China, Ogos depan.
Ironinya, permintaan itu hadir walaupun Kien Keat-Boon Heong sendiri sedar bahawa mereka masih gagal melunaskan ‘janji’ untuk membawa pulang kejayaan buat negara selepas segala permintaan mereka ditunaikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) termasuk menyediakan jurulatih seperti yang mereka mahukan.
Berikutan permintaan itu, satu lagi gandingan yang sebelum ini turut dikendalikan Paulus, Mohd Lufti Zaim Mohd Khalid-Tan Wee Gieen terpaksa berlatih dengan jurulatih lain.
“Kien Keat-Boon Heong ada menyuarakan permintaan itu kepada Paulus yang mahu jurulatih berkenaan fokus kepada mereka dan Thien How-Wee Kiong saja sebagai persiapan ke Kejohanan Dunia.
“Mereka tidak mahu campur dengan pemain lain. Paulus kemudian memaklumkan perkara itu kepada saya dan saya tidak ada masalah jika itu adalah langkah terbaik untuk membantu Kien Keat-Boon Heong.
“Lufti-Wee Gieen boleh berlatih dengan jurulatih lain. Selepas ini, semua perkara mengenai Kien Keat-Boon Heong akan diuruskan Paulus.
“Ini semua akan bermula selepas Kien Keat-Boon Heong pulang daripada Terbuka Indonesia dari 10 hingga 16 Jun ini,” kata ketua jurulatih beregu negara, Tan Kim Her, semalam. Kien Keat-Boon Heong pernah mencetuskan kontroversi apabila meminta BAM untuk menukar jurulatih mereka ketika itu, Rexy Mainaky kepada Pang Cheh Chang pada September 2011 biarpun jurulatih kelahiran Indonesia berkenaan membawa mereka meraih pingat emas Sukan Asia 2006 dan Seluruh England 2007.
Selepas permintaan itu ditunaikan, Kien Keat-Boon Heong tetap gagal membalas kepercayaan apabila terus kemarau gelaran juara sejak kali terakhir memenanginya pada Terbuka Malaysia 2010 termasuk gagal meraih pingat pada Sukan Olimpik London tahun lalu.
“Saya tidak kisah jika mereka mahu Paulus fokus kepada mereka saja tetapi mereka perlu buktikan yang mereka boleh beraksi dengan baik. Kita tunggu dan lihat keputusan di Kejohanan Dunia nanti,” kata Kim Her.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)































