Friday, 25 May 2012
KISAH NABI UZAIR AS
Pada suatu hari ketika 'Uzair memasuki kebunnya yang menghijau dengan
pokok-pokok tamar dan tiba-tiba hatinya telah terpesona serta tertarik untuk
memikirkan rahsia keindahan dan keajaiban alam ini. Sesudah memetik buah-buahan
dia pulang dengan keldainya sambil menikmati keindahan-keindahan alam
sekitarnya sehingga keldai yang ditungganginya tersesat jalan. Setelah sekian
lama barulah dia sedar bahawa dia telah berada di suatu daerah yang tidak
dikenali oleh beliau serta sudah jauh dari negerinya sendiri.
Sebaik sahaja dia sampai ke daerah itu dilihatnya kampung itu baru sahaja
diserbu oleh musuh-musuh sehingga menjadi rosak-binasa sama sekali. Di tapak
atau bekas runtuhan terdapat mayat-mayat manusia yang bergelimpangan yang sudah
busuk serta hancur. Melihatkan pemandangan yang mengerikan itu, dia pun turun
dari keldainya dengan membawa dua keranjang buah-buahan. Manakala keldainya itu
ditambat di situ, kemudian dia pun duduk bersandar pada dinding sebuah rumah
yang sudah runtuh bagi melepaskan penatnya. Dalam pada itu, fikirannya mula
memikirkan mayat manusia yang sudah busuk itu.
"Bagaimana orang-orang yang sudah mati dan hancur itu akan dihidupkan
oleh Tuhan kembali di negeri akhirat?" begitulah pertanyaan yang datang
bertalu-talu dan tidak terjawab olehnya sehingga dia menjadi lemah-longlai dan
kemudian terus tertidur. Dalam tidur itu, dia seakan-akan bertemu dengan semua
arwah (roh-roh) orang-orang yang sudah meninggal itu. Tidurnya amat luar biasa
sekali, bukan hanya sejam atau semalam, tetapi dia telah tidur terus-menerus
tanpa bangun-bangun selama seratus tahun lamanya.
Dalam masa dia tertidur itu, keadaan di sekitarnya sudah ramai lapisan
baru, rumah serta bangunan-bangunan banyak yang telah didirikan. Dalam masa
seratus tahun itu, segala-galanya sudah berubah, manakala 'Uzair tetap terus
tidur tersandar di dinding buruk itu menjadi jasad (tubuh) yang tidak bernyawa
lagi. Dagingnya sudah hancur dan tulang belulangnya sudah hancur lebur
berderai.
Kemudian jasad 'Uzair yang telah mati, daging dan tulangnya yang sudah
hancur itu disusun kembali oleh Allah pada bahagiannya masing-masing lalu
ditiupkan ruhnya. Dan ketika itu juga 'Uzair hidup kembali seperti dahulu.
'Uzair terus berdiri seperti orang yang bangun dari tidur lantas dia mencari
keldai dan buah-buahannya di dalam keranjang dahulu.
Tidak berapa lama kemudian, turunlah beberapa malaikat seraya bertanya,
"Tahukah engkau ya 'Uzair berapa lama engkau tidur?"
Tanpa berfikir panjang 'Uzair menjawab, "Saya tertidur sehari dua
ataupun setengah hari."
Lalu malaikat pun berkata kepadanya, "Bahawa engkau terdampar di sini
genap seratus tahun lamanya. Disinilah engkau berbaring, berhujan dan berpanas
matahari, kadang-kadang ditiup badai dan berhawa sejuk dan juga panas terik.
Dalam masa yang begitu panjang, makanan engkau tetap baik keadaannya. Tetapi
cuba lihat keadaan keldai itu, dia sendiri pun sudah hancur dan dagingnya sudah
busuk."
Berkata malaikat lagi, "Lihatlah dan perhatikanlah sungguh-sungguh. Demikianlah
kekuasaan Allah. Allah dapat menghidupkan kembali orang yang sudah mati dan
mengembalikan jasad-jasad yang sudah hancur lebur dan dengan semudah itu
pulalah Tuhan akan membangkitkan semua manusia yang sudah mati itu nanti di
akhirat untuk diperiksa dan diadili segala perbuatannya. Hal ini diperlihatkan
oleh Tuhan kepada engkau supaya iman engkau tetap dan engkau sendiri dapat
menjadi bukti kepada manusia-manusia lain supaya engkau dan manusia-manusia
lain tiada syak dan ragu-ragu lagi tentang apa yang diterangkan Tuhan tentang
akhirat itu."
Setelah 'Uzair melihat makanan dan keldainya yang sudah hancur itu, maka
'Uzair pun berkata, "Sekarang tahulah saya bahawa Allah itu adalah
berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu." Tiba-tiba keldai yang sudah hancur
berderai itu dilihatnya mulai dikumpulkan daging dan tulangnya. Dan akhirnya
menjadi seperti sediakala iaitu hidup kembali bergerak-gerak dan berdiri
sebagaimana sebelum mati. Maka 'Uzair pun berkata, "Sekarang tahulah saya
bahawa Allah berkuasa di atas segala-galanya." Lalu dia pun terus
mengambil keldainya dahulu dan terus menunggangnya pulang ke rumahnya dahulu
dengan mencari-cari jalan yang sukar untuk dikenali. Dilihatnya segala-gala
telah berubah. Dia cuba mengingati apa yang pernah dilihatnya seratus tahun
dahulu. Setelah menempuhi berbagai kesukaran, akhirnya dia pun sampai ke
rumahnya. Sebaik sahaja dia sampai di situ, dia mendapati rumahnya sudah pun
buruk di mana segala dinding rumahnya telah habis runtuh. Semasa dia memandang
keadaan sekeliling rumahnya, dia ternampak seorang perempuan tua, lantas dia
pun bertanya, "Inikah rumah tuan 'Uzair?"
"Ya," jawab perempuan itu. "Inilah rumah 'Uzair dahulu,
tetapi 'Uzair telah lama pergi dan tiada didengar berita tentangnya lagi
sehingga semua orang pun lupa padanya dan saya sendiri tidak pernah menyebut namanya
selain kali ini sahaja." Kata perempuan itu sambil menitiskan airmata.
'Sayalah 'Uzair," jawab 'Uzair dengan pantas. "Saya telah dimatikan
oleh Tuhan seratus tahun dahulu dan sekrang saya sudah dihidupkan oleh Allah
kembali."
Perempuan tua itu terkejut seakan-akan tidak percaya, lalu dia pun berkata,
"'Uzair itu adalah seorang yang paling soleh, doanya selalu dimakbulkan
oleh Tuhan dan telah banyak jasanya di dalam menyembuhkan orang yang sakit
tenat." Sambungnya lagi, "Saya ini adalah hambanya sendiri, badan
saya telah tua dan lemah, mata saya telah pun buta kerana selalu menangis
terkenangkan 'Uzair. Kalaulah tuan ini 'Uzair maka cubalah tuan doakan kepada
Tuhan suaya mata saya terang kembali dan dapat melihat tuan."
"Uzair pun menadah kedua belah tangannya ke langit lalu berdoa ke
hadrat Tuhan. Tiba-tiba mata orang tua itupun terbuka dan dapat melihat dengan lebih
terang lagi. Tubuhnya yang tua dan lemah itu kembali kuat seakan-akan kembali muda. Setelah
merenung wajah 'Uzair dia pun berkata, "Benar, tuanlah 'Uzair. Saya masih
ingat." Hambanya itu terus mencium tangan 'Uzair lalu keduanya pergi
mendapatkan orang ramai, bangsa Israil. 'Uzair memperkenalkan dirinya bahawa
dialah 'Uzair yang pernah hidup di kampung itu lebih seratus tahun yang lalu.
Berita itu bukan sahaja mengejutkan bangsa Israil, tetapi ada juga
meragukan dan ada yang tidak percaya kepadanya. Walau bagaimanapun berita itu
menarik perhatian semua orang yang hidup ketika itu. Kerana itu mereka ingin
menguji kebenaran 'Uzair. Kemudian datanglah anak kandungnya sendiri seraya
bertanya, "Saya masih ingat bahawa bapa saya mempunyai tanda di
punggungnya. Cubalah periksa tanda itu. Kalau ada benarlah dia 'Uzair."
Tanda itu memang ada pada 'Uzair, lalu percayalah sebahagian daripada
mereka. Akan tetapi sebahagian lagi mahukan bukti yang lebih nyata, maka mereka
berkata kepada 'Uzair, "Bahawa sejak penyerbuan Nebukadnezar ke atas
bangsa dan negara Israil dan setelah tentera tersebut membakar kitab suci
Taurat, maka tiadalah seorang pun bani Israil yang hafal isi Taurat kecuali
'Uzair sahaja. Kalau benarlah tuan Uzair, cubalah tuan sebutkan isi Taurat yang
betul."
'Uzair pun membaca isi Taurat itu satu persatu dengan fasih dan lancar
serta tidak salah walaupun sedikit. Mendengarkan itu barulah mereka percaya
bahawa sungguh benar itulah 'Uzair. Ketika itu, semua bangsa Israil pun percaya
bahawa dialah 'Uzair yang telah mati dan dihidupkan semula oleh Tuhan. Banyak di antara
mereka yang bersalam dan mencium tangan 'Uzair serta meminta nasihat dan
panduan daripadanya. Tetapi sebahagian daripada kaum Yahudi yang bodoh
menganggap 'Uzair sebagai anak Tuhan pula. Maha Suci Allah tidak mempunyai anak
samada 'Uzair mahupun Isa kerana semua makhluk adalah kepunyaan-Nya belaka.
Janganlah kita was-was tentang kekuasaan Allah, maka hendaklah dia fikir
siapakah yang menciptakan dirinya itu. Adalah mustahil sesuatu benda itu
terjadi dengan sendirinya tanpa ada yang menciptakan. Kalau masih ada orang
yang ragu-ragu tentang kekuasaan Allah, ubatnya hanya satu sahaja, hendaklah
dia membaca dan memahami al-Qur'an, was-was terhadap kekuasaan Allah itu hanya
datangnya dari syaitan.
Allah S.W.T telah
meletakkan komputer dalam kepala kita untuk berfikir, oleh itu gunakanlah akal
kita untuk berfikir.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)































