Wednesday, 9 May 2012
Sisi berbeza Remy
BUDI merupakan seorang lelaki yang sangat unik dan berbeza dari
manusia yang pernah ada di muka bumi. Dia lahir pada 29 Februari 1896
dan hanya meningkat usia setiap empat tahun sekali, serta perlu melalui
fasa kehidupan dari era penjajahan Malaysia hingga melangkau era moden.
Itu merupakan antara sinopsis filem terbaharu lakonan aktor pujaan
Malaya, Remy Ishak dalam filem terbitan KRU Studios yang berjudul 29
Februari. Istimewanya tentang filem yang digarap oleh Edry Abdul Halim
ini, ia merupakan filem Melayu dengan format tiga dimensi (3D) yang
pertama di Malaysia.
"Budi dianggap terkena sumpahan dan keadaan fizikalnya juga terbantut
selain pemikirannya juga sedikit lembab. Saya tertarik dengan watak
yang ditawarkan ini kerana saya perlu memegang watak yang melalui era
zaman sebelum merdeka hingga era moden. Sejujurnya, ia merupakan satu
konsep berbeza dengan apa yang dilakonkan saya sebelum ini.
"Budi dianggap terkena sumpahan dan keadaan fizikalnya juga terbantut
selain pemikirannya juga sedikit lembab. Saya tertarik dengan watak yang
ditawarkan ini kerana saya perlu memegang watak yang melalui era zaman
sebelum merdeka hingga era moden. Sejujurnya, ia merupakan satu konsep
berbeza dengan apa yang dilakonkan saya sebelum ini.
Akui Remy, berlakon dalam filem tersebut merupakan satu cabaran
baharu buat dirinya kerana ia merupakan kali pertama dia bekerja dengan
Edry. Baginya, setiap pengarah mempunyai kehendak dan persefahaman yang
berlainan.
Tambah lelaki berkulit hitam manis itu lagi, apa yang diminta
pengarah filem 29 Februari itu merupakan perkara yang belum pernah
diberikan dan ia sememangnya sesuatu yang berbeza.
"Mungkin sebelum ini watak saya lebih kepada lelaki romantik. Tapi,
kali ini, romantik pada mata Edry cukup berlainan, ia bukan tipikal
romantik dan saya harus melunaskan permintaan tersebut dengan sebaik
mungkin. Jadi memang semua babak dalam filem ini berat dan mencabar bagi
saya," ujar Remy.
Sebagai contoh, kata Remy, secara luaran, dia membawa fizikal dirinya
yang sekarang, namun harus mempunyai pemikiran seperti budak-budak dan
perlu mendalami setiap era yang dipaparkan dengan sebaik mungkin.
"Lebih mencabar buat saya kerana ini adalah filem muzikal. Jadi zaman
yang dipaparkan berubah berdasarkan muzik. Orang akan nampak dalam
filem ini dan ia memerlukan saya banyak bermain dengan emosi," jelasnya
panjang lebar.
Menyanyi
Filem dan pengalaman pertama bersama KRU Studios, ujar Remy,
merupakan satu perjalanan yang berbeza buat dirinya. Remy berpendapat
KRU merupakan sebuah produksi yang sentiasa melangkah ke hadapan.
Secara peribadi, dia juga berpendapat segala perkara yang dilakukan
syarikat tersebut merupakan satu evolusi selain percubaan memecah
tradisi industri perfileman Malaysia melalui penghasilan filem-filem
mereka.
"Agenda mereka dalam industri filem negara sangat besar. Filem-filem
yang dihasilkan pun bukan kosong. Saya memang hormat dengan usaha-usaha
mereka itu," cerita Remy.
Bercakap mengenai cabaran paling besar yang perlu dihadapi dalam
filem ini, secara terbuka dia memberitahu menghadapi kesukaran untuk
menyanyi kerana dia bukan penyanyi.
Remy perlu menyanyi sebanyak tiga buah lagu. Jujur dia mengaku,
perasaan gementar dan seram sejuk wujud dalam diri. Namun, sebagai
pengarah dan juga penyanyi, Edry menasihati Remy agar lebih memberi
fokus terhadap lakonan.
"Cabaran terbesar saya juga adalah menyanyi. Jadi saya berharap agar
masyarakat yang menonton filem tersebut kelak tidak akan menilai
nyanyian saya. Sebaliknya memberi fokus terhadap bakat lakonan saya,
kerana saya merupakan seorang pelakon," ujarnya.
PENGARAH Edry Abdul Halim (tengah) sedang memberi arahan kepada Remy dan Jojo sewaktu proses pembikinan filem tersebut.
"Saya tidak pernah berlakon atau mengenali dirinya. Namun semasa sesi
uji bakat, saya dapat lihat, dia seorang gadis yang berbakat besar.
Mengenai keserasian pula, kami bina ia ketika dalam set penggambaran.
Setiap kali ada masa terluang, saya akan berbincang dan bercakap
dengannya," jelas Remy memuji bakat yang dimiliki Jojo.
Tidak cukup bagus
Walaupun namanya telah dikenali di seluruh Malaysia, namun bagi Remy
sendiri, dia belum mengecapi kepuasan dengan karier dalam bidang lakonan
yang dibinanya ini. Katanya, dia masih banyak perlu dipelajari dan
ditingkatkan daripada segi lakonan, kehidupan dan aspek-aspek lain.
"Menjadi seorang pelakon merupakan perkara yang sukar. Memilih watak
yang dimahukan adalah perkara subjektif, namun saya sentiasa mahu
memberi yang terbaik untuk apa jua watak yang saya bawa,"jelasnya yang
memberitahu pelakon harus menjadi selektif.
Tambahnya menguatkan hujah: "Itu perlu (selektif) kerana secara tidak
langsung ia dapat mengelakkan dari pelakon tersebut hanya melakonkan
watak yang hampir serupa setiap kali muncul di layar perak mahupun kaca
televisyen." -kosmo
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
































