Wednesday, 9 May 2012
Impian Awal, Scha terlaksana
Setelah hampir tiga tahun menyulam cinta bersama, tanggal 4 Mei 2012
pastinya menjadi hari paling bermakna buat pasangan popular Ahmad
Awaluddin Ashaari, 31, atau Awal dan Scha atau lebih dikenali sebagai
Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya, 29.
Kedua-duanya kini sah menjadi pasangan suami isteri apabila
diijabkabulkan oleh bapa pengantin perempuan, Syed Mahadzir Syed Kechik
Alyahya dengan disaksikan Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Putrajaya,
Mohd. Salman Idrus dalam satu majlis yang berlangsung di Hotel Pullman
Putrajaya Lakeside.
Pada majlis yang dihadiri seramai 250 tetamu yang terdiri daripada
ahli keluarga dan kedua-dua belah pihak, Scha kelihatan cukup anggun
dengan busana baju kurung moden berwarna putih rekaan Syaiful Baharim
manakala Awal yang segak mengenakan baju Melayu rekaan pereka sama.
Awal yang ditemui selepas berakhirnya acara berinai meluahkan rasa
bersyukur apabila penantiannya untuk bergelar suami kepada wanita yang
paling dicintai telah terlaksana.
“Alhamdulillah, saya berasa lega kerana semuanya berjalan dengan
lancar dan Scha telah pun menjadi isteri saya yang sah. Sudah tentu hari
ini merupakan detik bersejarah buat kami berdua.
“Pada mulanya saya berasa sangat berdebar ketika hendak akad nikah,
namun perasaan itu hilang apabila saya dapat melakukannya dengan sekali
lafaz sahaja,” ujar Awal yang tidak dapat menahan sebak.
Pada majlis berkenaan, Scha menerima RM2050 sebagai mas kahwin serta
tujuh dulang hantaran yang terdiri daripada set barang kemas, sirih
junjung, senaskhah al-Quran, kek, baju, kasut dan beg tangan.
Awal pula menerima sembilan dulang hantaran yang terdiri daripada
sirih junjung, senaskhah al-Quran, sebuah komputer riba, dompet, kasut,
seutas jam tangan, sepasang baju Melayu, coklat dan kek.
Bagaimanapun, pasangan tersebut sepakat untuk merahsiakan jumlah wang hantaran.
Menurut Awal, kehadiran Scha kini seolah-olah telah melengkapkan
perjalanan hidupnya dan tidak menyangka wanita yang pernah menjadi
pujaan suatu masa dahulu telah menjadi isterinya.
Sebagai pasangan yang sama-sama berkecimpung dalam bidang seni, Awal
memberitahu dia tidak akan menyekat Scha untuk terus aktif dalam bidang
seni, asalkan tahu menjaga batasan sebagai seorang isteri dan menjaga
nama baik keluarga.
SCHA berharap peminat akan terus menyokong karier seninya. Awal pula tidak menghalang Scha untuk terus aktif berlakon.
“Sudah tentu kami akan melalui fasa kehidupan yang berbeza selepas
berumah tangga dan tanggung jawab juga semakin bertambah. Namun, kami
akan cuba untuk sentiasa bersabar dan bertolak ansur dalam sebarang
perkara,” ujarnya.
Sementara itu, Scha yang turut berada di samping suami tercinta
sewaktu sidang akhbar mengakui sukar untuk menggambarkan perasaannya
apabila kini dia sudah bertukar status kepada isteri.
Ujar Scha, biarpun sekarang dia dan Awal sudah bergelar pasangan
suami isteri, namun dia tetap berharap agar terus mendapat sokongan dan
doa daripada para peminat.
“Mengenai hasrat untuk memiliki anak pula kami memang tidak pernah
merancang. Kami bersedia untuk menimang cahaya pada bila-bila masa dan
semuanya terpulang pada rezeki,” jelasnya.
Mohon maaf
Mengikut perancangan awal majlis akad nikah Awal dan Scha sepatutnya
disiarkan secara langsung pada pukul 9 malam menerusi dua saluran iaitu
Astro Ria dan Astro Awani.
Bagaimanapun, penantian peminat yang sudah menunggu di hadapan kaca
televisyen untuk menyaksikan acara tersebut hampa apabila ia tidak dapat
disiarkan kerana masalah teknikal.
Ketika diminta mengulas mengenai perkara tersebut, Awal sendiri
langsung tidak menyangka masalah tersebut boleh berlaku dan memohon maaf
kepada para penonton yang sudah menunggu majlis akad nikahnya itu.
“Saya tahu ramai penonton yang kecewa dan tidak sangka masalah ini
akan berlaku kerana ia sudah diwar-warkan. Kalau boleh saya tidak mahu
menyalahkan mana-mana pihak kerana semuanya sudah berusaha keras untuk
menjayakannya,” ujarnya.
Mengakui turut kecewa dengan masalah yang berlaku sehingga
menghampakan penonton yang sudah menanti lama untuk menonton majlis
tersebut, Awal berharap agar masalah yang sama tidak akan terjadi lagi
pada masa akan datang. -kosmo
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
































