Wednesday, 9 May 2012
Zahid mengaku Sudah tak Popular
SELAMA empat tahun penyanyi bintang kelahiran Akademi Fantasia (AF),
Ahmad Zahid Baharuddin atau Zahid AF, 32, menyepikan diri dalam bidang
seni. Cuma, baru-baru ini sahaja dia muncul sebagai penyampai radio Era
menggantikan Reza dan program lawak di Astro Warna iaitu Super Spontan.
Begitupun, kehadirannya dalam kedua-dua platform tersebut tidak
begitu menyerlah. Lebih-lebih lagi Super Spontan apabila dia menjadi
mangsa pertama tersingkir dalam program lawak spontan tersebut.
Bertemu dengan juara Akademi Fantasia musim kedua itu ketika Minggu
Setiausaha Zahid bersama pelakon Ady Putra yang berlangsung di Hotel
Seri Pasific, Kuala Lumpur baru-baru ini, Zahid mengakui ‘sejuk’ dalam
kerjaya seninya sekarang. Dia juga mengaku sudah tidak popular selain
memberitahu dia sedar dulu dirinya mentah sehingga keliru terhadap jalur
muzik sendiri. Ikuti perbualan Kosmo! bersama Zahid.
Kosmo!: Selama empat tahun anda menyepi dalam bidang seni. Ke mana anda menghilang?
ZAHID: Saya akui ‘sejuk’ dalam kerjaya sekarang. Puncanya sebab tiada
lagu konsisten yang keluar. Malah, penglibatan saya dalam kaca
televisyen pun agak terhad. Bukan tiada tawaran, cuma saya terikat
sebagai penyampai radio Era. Alhamdulillah, saya masih dijemput untuk
menjayakan majlis-majlis persembahan seperti Minggu Setiausaha.
Kalau diikutkan portfolio anda sebagai seorang penyanyi, anda pernah
mempunyai album. Namun, kini anda hanya muncul menerusi single sahaja.
Kenapa?
Dulu saya begitu muda dan tidak matang. Habis sahaja AF, sudah ada
lagu yang tersedia, tetapi hakikatnya jiwa saya bukan ke arah muzik
sebegitu. Insya-Allah, saya akan muncul dengan single terbaharu saya
pada tahun ini.
Adakah diri anda dipergunakan pihak tertentu?
Bukan dipergunakan, cuma saya tak tahu menentukan lagi arah muzik
saya. Sebabnya, saya tidak matang dan masih baharu lagi dalam industri
ketika itu.
Genre muzik bagaimana yang anda suka? Adakah single terbaharu nanti boleh dikatakan comeback Zahid dalam bidang muzik?
Jiwa saya ke arah lagu-lagu balada seperti penyanyi seberang, Broery
Marantika. Ya, boleh dikatakan single saya nanti merupakan comeback saya
dalam bidang seni suara. Bahan sudah ada cuma sedang tunggu rekod saja.
Mungkin pertengahan Jun ini keluar.
Beralih pada persembahan anda di Minggu Setiausaha, anda dilihat
tidak begitu bersedia menyanyi malah dilihat tidak begitu serius di atas
pentas, sedangkan ia adalah sebuah majlis korporat?
Saya mahu jadikan majlis sebegini santai dan tidak terlalu formal.
Kalau boleh, saya mahu saja menyanyi di bawah bersama-sama peminat dan
tidak perlu menyanyi di atas pentas. Saya juga suka menyelitkan sedikit
humor dalam persembahan saya. Tapi, saya akan cuba bataskan jika majlis
yang dihadiri adalah dari golongan VIP atau VVIP.
Kenapa anda menyanyikan lagu-lagu penyanyi lain sewaktu mengadakan persembahan?
Saya rasa tidak sesuai untuk menyanyikan lagu-lagu saya di majlis
sebegini. Lagu-lagu saya kebanyakannya rancak. Lebih sesuai sekiranya
saya menyanyikan lagu-lagu yang tengah hit sekarang.
Menyentuh mengenai peribadi pula, bila anda akan menamatkan zaman
bujang anda? Khabarnya sudah mempunyai teman wanita baharu selepas putus
dengan Nita dulu?
Saya masih belum mempunyai teman wanita. Tapi, memang saya kena cari
sebab faktor usia. Usia saya pun sudah menjangkau 32 tahun dan
selayaknya untuk berkahwin.
Apakah harapan anda dalam bidang seni?
Saya kecewa selama empat tahun kurang dengan tawaran. Mudah-mudahan
tahun 2012 ini adalah tahun yang terbaik untuk saya muncul dan menyinar
semula. -kosmo
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
































