Monday, 25 June 2012
Elfira Loy nafi berlagak
UMURNYA baru mencecah 18 tahun, namun masa depan Nurul Elfira Loy
atau Elfira Loy dalam bidang seni tanah air dilihat semakin cerah.
Bersandarkan raut wajah manis serta keningnya yang terukir rapi,
tawaran berlakon yang menanti gadis berjiwa kental ini datang
mencurah-curah hari demi hari.
Namun sebagai seorang anak seni, dia tidak dapat lari daripada asam
garam dunia glamor yang penuh ranjau ini. Terbaru, dia ditohmah sudah
mula berlagak!
Bukan setakat itu, gadis kecil molek ini turut dikatakan gemar
menunjuk-nunjuk barangan berjenama yang dimilikinya sehinggakan ada yang
mengatakan dia alergi dengan barangan tidak berjenama.
Tidak mudah melenting, Elfira membalas kembali dakwaan tersebut.
Katanya, jika benar sekalipun dakwaan tersebut, ia adalah untuk kepuasan
diri dan yang paling penting, datang daripada hasil titik peluhnya
sendiri.
Ikuti temu bual dengan heroin telefilem popular, Biar Mimpi Sampai
ke Bintang yang sedang mengemas rumah ketika dihubungi Kosmo! pagi
semalam.
Kosmo!: Timbul satu perkhabaran yang mengatakan anda sudah mula pandai berlagak. Benarkah kenyataan ini?
ELFIRA: Saya sebenarnya sedikit hairan bagaimana perkara sebegini
boleh timbul sedangkan setahu saya, sifat suka menggedik dan berlagak
tidak pernah wujud dalam diri saya. Mereka yang mengenali saya semuanya
mengetahui bahawa saya bukanlah jenis yang terlalu terbuka dengan orang
yang tidak dikenali. Bagaimanapun, jika saya sudah percaya dan selesa
dengan seseorang itu, barulah saya menjadi peramah. Jadi, dari mana
datangnya sifat berlagak itu pula?
Bagaimana pula dengan dakwaan yang mengatakan sifat anda yang gedik?
Bagaimana orang boleh melabel saya sebagai gedik? Bila pula mereka
melihat saya berperangai sedemikian? Jujur saya cakapkan, saya jarang
keluar bersosial di tempat-tempat awam tanpa kehadiran ibu saya. Jadi,
jika saya jarang berada di khalayak ramai, bagaimana pula mereka boleh
melihat saya gedik? Saya sendiri tidak faham kenapa isu ini
dibangkitkan.
Berdasarkan apa yang ditulis dalam sebuah akhbar, anda dikatakan
gemar menunjuk-nunjuk barangan berjenama yang anda miliki. Adakah benar
dakwaan tersebut?
Pada saya, kita tidak perlu untuk bercerita mengenai barangan
tersebut kerana jika betul ia berjenama, orang lain pasti akan perasan
sendiri. Lagipun tiada sebab untuk saya menghebah-hebahkan perkara
tersebut kecuali ditanya mengenainya. Kalau ada orang bertanya, mestilah
kita perlu menjawabnya. Namun untuk pengetahuan semua, saya tidak
terlalu memilih sama ada sesuatu barangan itu berjenama atau tidak, yang
penting saya selesa memakainya.
Jadi benarlah Elfira memang gemar membeli barangan berjenama?
Memang tidak dinafikan kadangkala saya ada membeli barangan yang
berjenama seperti kasut dan beg tangan. Namun semua itu dibeli untuk
kepuasan diri saya sendiri. Barangan tersebut lazimnya berkualiti
tinggi serta tahan lama. Oleh itu, ia juga boleh dianggap sebagai satu
pelaburan jangka panjang. Kasut yang dibeli pada tahun ini mungkin boleh
digunakan untuk tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
Pada usia yang masih muda, adakah sukar untuk mengawal kehendak untuk membeli barangan berjenama?
Saya sudah mula bekerja sejak berusia 12 tahun jadi saya tahu bertapa
susahnya untuk mencari duit sendiri. Oleh sebab itu, saya sentiasa
mengawal perbelanjaan dan tidak terlalu mengikut nafsu. Jika saya
benar-benar inginkan sesuatu, saya akan berusaha mengumpul duit untuk
mendapatkannya terutamanya jika barangan tersebut mahal dan berjenama.
Saya tidak dapat melihat di mana silapnya kerana saya berbelanja dengan
menggunakan hasil titik peluh saya sendiri.
Bagaimana anda mengawal perbelanjaan?
Ke mana-mana saya pergi, ibu saya sentiasa berada di sisi. Ibu yang
banyak membantu menguruskan pendapatan saya. Setiap kali mendapat
bayaran, saya dan ibu akan membahagi-bahagikan wang tersebut mengikut
keperluan. Ada yang digunakan untuk membeli kelengkapan untuk berlakon,
pembelajaran dan kegunaan seharian. Untuk berseronok pula, saya lebih
gemar menghabiskan wang untuk keluarga.
Rezeki anda dalam bidang lakonan dilihat semakin melimpah-ruah, jadi apakah perkembangan terbaharu dalam kerjaya anda?
Alhamdulillah, saya semakin mendapat kepercayaan untuk melakonkan
watak-watak yang lebih besar berbanding watak kanak-kanak sebelum ini.
InsyaAllah dalam bulan Oktober nanti, drama terbaharu saya, Dalam Hati
Ada Taman akan ditayangkan. Selain itu, saya juga akan terlibat dengan
dua produksi filem yang bakal memulakan penggambaran pada hujung
tahun ini.-Kosmo
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
































