Tuesday, 26 June 2012

Tips Pengambilan Ubat Dengan Betul

0 comments



Setiap rawatan yang diberi oleh seseorang doktor kepada pesakitnya senantiasa diharapkan dapat mendatangkan hasil yang positif. Walaubagaimanapun, kejayaan sesuatu rawatan itu bukan hanya terletak kepada hebat atau mahalnya sesuatu ubat itu. Namun, ia juga bergantung kepada kepatuhan (compliance) kita terhadap cara pengambilan ubat yang betul dan juga usaha kita untuk mengelakkan kesilapan daripada berlaku.

Oleh yang demikian,  semasa kita di dalam tempoh pengambilan sesuatu ubat, terdapat beberapa perkara yang perlu kita jadikan amalan bagi mendapatkan manfaat yang lebih daripada ubat-ubatan yang kita ambil.
Di sini dikongsikan 20 petua mengambil ubat yang anda boleh ikuti:

1.                        Baca label pada bekas ubat sebanyak tiga kali:

(a) sebelum ambil bekas ubat daripada ruang penyimpanan,
(b) sebelum mengeluarkan ubat daripada bekasnya dan
(c) sebelum meletakkan bekas ubat itu ke tempat asalnya.

 Pastikan ubat yang anda makan itu adalah ubat yang betul.

2.                        Jangan sekali-kali mengambil dan memakan ubat di dalam gelap
  walaupun anda tahu untuk mencarinya.

3.                        Jika anda perlu menggunakan alat atau bekas penyukat di rumah
  untuk mendapatkan dos yang tertentu, pastikan bekas yang digunakan  
  itu tidak bertukar-tukar. Ini kerana sudu, cawan atau gelas di rumah
  berbeza-beza saiznya. Sila dapatkan kepastian  daripada Pegawai
  Farmasi atau staf Farmasi berkenaan sukatannya terlebih dahulu.

4.                        Letakkan botol ubat di tempat yang lapang dan selamat. Elakkan
  bahagian sudut atau penjuru supaya tidak terjatuh akibat tertepis.

5.                        Apabila ingin mengeluarkan ubat cecair dari botolnya, tuangkan botol   
  ubat itu dengan lebel botol berada pada bahagian tapak tangan yang
  memegang botol itu. Ini bertujuan untuk mengelakkan cecair ubat itu
  meleleh dan menjejaskan tulisan pada label.

6.                        Goncang dahulu botol ubat minum terutamanya bagi ubat jenis
  suspensi (serbuk-serbuk kasar) sebelum dituangkan. Ini bertujuan
  supaya isi kandungan dan dosnya bercampur dengan sekata.

7.                        Jika anda mengambil ubat dengan meminum air, pastikan anda
  minum segelas penuh air itu. Kuantiti air yang kurang akan
  menyebabkan ubat kurang berkesan. Ia juga boleh mengakibatkan
  ketidakselesaan pada tekak jika ubat tidak masuk sepenuhnya ke
  dalam perut.

8.                        Jika anda diganggu semasa ingin mengambil ubat, bawa botol ubat
  tersebut bersama anda atau letak di tempat yang jauh dari jangkauan
  kanak-kanak. Ini untuk mengelakkan kanak-kanak daripada
  mengambil ubat anda tanpa disedari. Apabila kembali, periksa semula
  label ubat dan pastikan anda memakan ubat yang betul.

9.                        Jika anda sukar untuk menelan ubat, anda boleh memecahkan atau
  membuka sarung kapsul ubat untuk dicampur ke dalam makanan atau
  minuman anda. Namun, AWAS! Sesetengah ubat tidak dibenarkan
  untuk dihancurkan. Oleh yang demikian, anda perlu bertanya kepada
  doktor atau Pegawai Farmasi anda terlebih dahulu.

10.                   Sila ikut sebarang arahan mengenai cara pemakanan yang tertentu
  yang diberikan oleh  doktor atau Pegawai Farmasi anda.

11.                    Ubat yang dibekalkan untuk anda adalah khusus untuk anda
  berdasarkan kepada keadaan kesihatan anda sekarang. Oleh itu,
  jangan berkongsi atau memberi ubat berkenaan kepada orang lain.

12.                    Bagi mengekalkan keberkesanan ubat anda, pastikan ubat-ubatan
  tidak diletakkan atau disimpan di tempat yang terdedah kepada
  pancaran matahari dan haba yang melampau. Jangan sesekali
  membiarkan ubat anda di dalam kereta jika anda memarkir kereta
 di waktu panas terik.

13.                    Jika sekiranya anda dapati yang anda telah tersilap makan ubat atau
  terlebih jumlahnya, hubungi segera  doktor atau Pegawai Farmasi
  anda segera. Jika anda di dalam kecemasan anda boleh hubungi mana-
  mana hospital yang terdekat.

14.                    Setelah anda selesai mengambil ubat anda, tandakan pada kalendar
  untuk mengelakkan dos yang berganda. Anda juga diingatkan supaya
  peka terhadap perubahan-perubahan aneh pada diri anda seperti
  warna dan jumlah air kencing, peluh, berat badan, batuk, suhu badan,
  degup jantung atau apa sahaja perkara yang diarahkan oleh doktor
  untuk dipantau semasa mengambil ubat anda itu.

15.                    Cuba untuk mengambil ubat anda pada masa yang tetap. Kelewatan
  atau terawal setengah jam selalunya tidak memberi apa-apa kesan.
  Sekiranya, anda telah terlewat beberapa jam dan semakin hampir
  dengan waktu pengambilan dos seterusnya, semak sebarang arahan
  yang telah diberikan kepada anda. Jika tiada, sila bertanya
  kepada  doktor atau Pegawai Farmasi anda.

16.                    Semua ubat mempunyai tarikh luput yang tersendiri. Selepas tarikh
  yang dinyatakan itu, keberkesanan dan keselamatan bagi kebanyakan
  ubat tidak lagi terjamin. Oleh itu, anda perlu sentiasa peka terhadap
  tarikh luput ubat anda. Jika anda tidak pasti, sila bertanya kepada
  anggota Farmasi tentang tarikh luput ubat anda. Bagi sediaan ubat
  minum, tarikh luputnya ialah 30 hari selepas botol mula dibuka. Jadi,
  jangan disimpan ubat berkenaan selepas tempoh itu.

17.                    Ubat yang telah tamat tarikh luputnya mestilah dibuang melalui aliran
  tandas kecuali diarahkan sebaliknya. Anda juga boleh memulangkan
  ubat yang telah luput tarikh itu kepada petugas di kaunter Farmasi
  Pesakit Luar untuk dilupuskan.

18.                    Ubat yang berlebihan dan masih boleh digunakan lagi boleh
  dipulangkan semula ke kaunter Farmasi Pesakit Luar.

19.                    Jika ubat anda diurus oleh orang lain (contohnya anda dimasukkan ke
  dalam wad) pastikan anda bertanya apakah yang anda sedang alami
  dan maklumkan apa yang anda tahu tentang rawatan ubat anda
  sebelum ini. Jika sebelum ini anda kerap mengambil 1 biji sahaja dan
  bukannya 2 biji, sila maklumkan juga. Jika anda rasakan anda
  menerima  ubat yang salah, jangan ragu-ragu untuk mendapatkan
  kepastian daripada doktor anda. Anda perlu sentiasa melibatkan diri
  di dalam proses rawatan anda.

20.                   Pada masa kini, terdapat banyak hospital atau organisasi-organisasi
  yang lain menyediakan perkhidmatan kaunseling ubat-ubatan apabila
  pesakit ingin didiscaj daripada wad. Jika anda atau keluarga anda
  telah bersedia untuk pulang ke rumah, anda boleh bertanya kepada
  kakitangan hospital untuk mendapatkan perkhidmatan berkenaan.

Sebagai penutup, sebagai umat Islam. Kita harus yakin bahawa semua ketentuan penyakit dan sembuh bukan kerana ubat tetapi Allah. Ubat hanyalah medium antara kita dengan ketentuan pencipta kita. 

Leave a Reply

Labels