Monday, 27 May 2013

Bayi Maut Dirempuh

0 comments

Bayi maut dirempuh  pada  majlis perkahwinan


Bayi Maut Dirempuh Pada Majlis Perkahwinan

Keseronokan sepasang suami isteri menghadiri majlis perkahwinan saudaranya di Kampung Kopisan, di sini, berakhir tragedi apabila anak tunggal mereka berusia 18 bulan maut dirempuh sebuah kereta yang terbabas ke dalam khemah kenduri, malam kelmarin. 

Dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, bayi lelaki itu, T Thamilarasan, dirempuh kereta Proton Persona dinaiki empat lelaki yang sedang melarikan diri ketika dikejar kenderaan polis. 

Thamilarasan, yang parah di kepala meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh kira-kira jam 5 pagi semalam, selepas dipindahkan dari Hospital Kampar (HK).    Dalam kejadian itu, seorang wanita berusia 58 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia dua tahun turut cedera dan kini dirawat di HK. 

T Thenarasu, 24, berkata dia, isterinya dan bayi lelaki mereka duduk di bawah khemah selepas jamuan makan malam apabila ternampak sebuah kereta meluru laju ke arah mereka dan terus merempuh anaknya itu yang duduk di kerusi berhampiran. 

“Kejadian berlaku terlalu pantas sehingga saya tidak sempat menyelamatkan anak saya.  “Malah, sebaik kereta itu merempuh kerusi, meja dan orang yang berada bawah khemah, pemandunya terus memandu laju meninggal tempat itu,” katanya ketika ditemui dalam keadaan pakaiannya yang masih berlumuran darah anaknya di Rumah Mayat HRPB di sini, semalam. 

Thenarasu yang bekerja sebagai kelindan lori berkata, dia masih belum dapat menerima hakikat kehilangan anak tunggalnya itu dalam sekelip mata.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon, pula berkata sebelum itu kenderaan polis yang melakukan rondaan pencegahan jenayah mengesan sebuah kereta dinaiki empat lelaki dalam keadaan yang mencurigakan di kawasan berhampiran. 

Katanya, sebaik anggota terbabit cuba untuk menghampiri kenderaan itu, mereka mengesan pemandunya disyaki berada dalam senarai orang dikehendaki polis dan kereta terbabit terus memecut laju sebelum terbabas dan merempuh khemah kenduri perkahwinan. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu melulu dan menyebabkan kematian. 

“Polis turut menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh jika mempunyai bukti mencukupi,” katanya sambil menjelaskan usaha memburu keempat-empat lelaki itu masih diteruskan.


Sumber : Berita Harian





Leave a Reply

Labels