Monday, 27 May 2013
Putra Atau Pertanian?
Putra Lagi Sesuai
Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) membantah cadangan mengembalikan nama universiti itu kepada Universiti Pertanian Malaysia kerana ia dianggap tidak relevan. Pelajar jurusan Nutrisi UPM, Teok Xiao Wei, 24, berkata penukaran nama itu tidak wajar kerana UPM bukan hanya khusus kepada bidang pertanian saja.
“Jika nama UPM ditukar, masyarakat akan menganggap UPM hanya menawarkan jurusan pertanian, sedangkan UPM sudah maju dengan pelbagai jurusan ditawarkan seperti perubatan dan kejuruteraan.
“Perkara ini sepatutnya sudah selesai ketika penukaran nama UPM pada 1997 dan tidak perlu sebarang penukaran lagi kerana kami sudah selesa dengan nama universiti sekarang,” katanya.
Kelmarin, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mencadangkan nama asal Universiti Pertanian Malaysia digunakan semula, bagi mengembalikan imej sektor pertanian yang berhubung kait dengan pendidikan dan keusahawanan.
Ismail Sabri dilaporkan berkata, suatu ketika dulu, masyarakat menyanjung tinggi graduan Universiti Pertanian Malaysia sebagai golongan bijak pandai yang ada kaitan dengan pertanian, namun selepas nama institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu ditukar pada 1997, kredibilitinya semakin dilupakan.
Katanya, faktor itu juga dikenal pasti menjadi punca penuntut universiti tidak lagi berminat mengikuti pengajian dalam bidang pertanian kerana tiada IPTA khusus memartabatkan sektor itu secara langsung.
Justeru, kementerian itu akan mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan supaya kembali menggunakan nama Universiti Pertanian Malaysia. Pelajar Mikrobiologi UPM, Syaza Maisarah Mohd Nor, 22, turut tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana masyarakat sudah biasa dengan panggilan Putra berbanding Pertanian.
“Perkataan Putra lebih megah dan sesuai jika dibandingkan dengan Pertanian kerana skop Putra lebih meluas dan komersil.
“Jika penukaran nama dibuat, kemungkinan besar akan terjadinya salah faham dalam kalangan masyarakat kita dan menganggap UPM hanya mementingkan pelajar jurusan pertanian saja,” katanya.
Pelajar Bioteknologi UPM, M Kalaivani, 29, berkata ada banyak lagi cara yang boleh dilakukan bagi mengembalikan imej sektor pertanian selain menukar nama UPM.
“Bidang pertanian tidak pernah dilupakan oleh UPM walaupun namanya sudah ditukar kepada Universiti Putra Malaysia kerana subjek Asas Pertanian masih wujud dan menjadi salah satu subjek teras yang perlu diambil oleh semua pelajar UPM tanpa mengira jurusan.
“Saya harap perkara ini akan dikaji semula kerana kami sebagai pelajar UPM yang akan membawa nama universiti ini di masa hadapan kelak,” katanya.
Sumber : Berita Harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
































