Seorang isteri bukan saja memegang kunci kebahagian dan ketenteraman jiwa suaminya, malah ia memegang kunci kejayaan hidupnya.
Monday, 27 May 2013
Enam Isteri Yang Menjahanamkan Suami
Seorang isteri bukan saja memegang kunci kebahagian dan ketenteraman jiwa suaminya, malah ia memegang kunci kejayaan hidupnya.
Kenyataan bahawa setiap di belakang setiap lelaki yang berjaya itu terdapat
seorang perempuan yang bijak dan berjiwa besar merupakan satu kenyataan yang
lumrah diterima di mana-mana. Si isteri mempunyai serampang mata dua yang
sakit, ia boleh membuat suaminya hidup bersemangat, bercita-cita tinggi, gigih
dan ia boleh membuat suaminya menjadi seorang yang lemah, patah hati , tidak
percaya diri sendiri, pengecut, ragu-ragu dalam membuat keputusan-keputusan dan
bertindak. Sikap dan perhubungan seorang isteri dengan masyarakat juga
merupakan satu faktor yang menentukan nama baik suaminya di kalangan orang
ramai, kerana tingkah laku sosial seorang isteri tidak boleh dipisahkan dari
nama baik suaminya.
Dalam kehidupan rumah tangga ada enam isteri yang membawa kesiksaan-kesiksaan
jiwa kepada suaminya sehingga membuat mereka tidak bersemangat untuk
melaksanakan kejayaan-kejayaan baru dalam hidup.
( 1 ) Isteri yang tidak tahu membuat keputusan Dia seorang isteri yang kaku
tanpa inisiatif. Dia hanya tahu menyelesaikan perkara-perkara titik bengik
mengenai kepentingan-kepentingan diri setiap hari dan tugas-tugas kecil
mengenai hal-hal rumah tangga saja. Selain dari itu seluruh persoalan hidup
yang lain dibebankan ke pundak suaminya. Dia tidak mahu mengambil keputusan
bagaimana hendak menyusun perabut-perabut rumahnya dengan yang lebih menarik,
tidak tahu mengambil keputusan terhadap kelakuan dan tindak tanduk
anak-anaknya, tidak tahu membuat anggaran rumah tangga yang wajar dan teratur,
tidak tahu membuat sesuatu yang membina terhadap dengan jiran tetangga, sanak
saudara dan kawan temannya, malah ia tidak tahu menentukan barang-barang yang
perlu dibeli untuk kepentingan rumah tangganya, malah kadang-kadang ia tidak
tahu menentukan jenis-jenis masakan yang patut di sediakan hari ini.
Segala-galanya dirujukkan kepada suaminya. Pendeknya dia tidak akan bertindak
melainkan dengan arahan yang jelas dari suaminya. Suami yang mendapat isteri
yang sedemikian terpaksa memikul beban-beban tambahan yang berat di samping
pekerjaan hariannya. Ia terpaksa memikul beban-beban rumah tangga serentak
dengan beban-beban pejabatnya. Dia selalu saja diganggu oleh
pertanyaan-pertanyaan yang tidak putus-putus dari isterinya bagaimana hendak
membuat itu dan ini. Akibatnya bukan saja membuang waktu suaminya yang berharga
malah menghalangi dari memikirkan sesuatu yang lebih serius dan berguna kepada
kemajuan dan kemajuan hidup.
( 2 ) Isteri yang selalu mengomel / berleter Dia selalu tidak puas hati biar
apa pun yang dibuat oleh suaminya. Dia mengomel, mengeritik, dan mempersenda
semua tindak tanduk suaminya. Segala galanya tidak kena dan ada saja cacat
celanya. Suaranya seperti suara nyamuk yang terus menyerang dan menganggu. Dia
tidak segan-segan memperkatakan kelemahan-kelemahan suaminya kepada orang lain.
Dia seorang yang selalu mementingkan dirinya dan tidak sabar. Dia mahu segala-galanya
cepat, sempurna dan memuaskan. Lebih jauh dari itu dia begitu lancang membuat
pertandingan-pertandingan yang tidak adil dengan suami-suami orang lain. Untuk
mencari hiburan dan ketenteraman, suaminya lebih suka berlabuh di kedai-kedai
kopi hingga jauh petang dan jauh malam, dan suka melupakan diri dengan
permainan-permainan catur dan daun terup,atau mencari kedamaian pada
perempuan-perempuan yang lain atau pada minuman-minuman keras. Seorang suami
yang bernasib baik sedemikian tidak lagi mempunyai kegairahan atau inisiatif
untuk bekerja keras bagi memajukan hidupnya dan hidup anak-anaknya. Ia seorang
suami yang begitu bosan dengan hidupnya.
( 3 ) Isteri diktator Dia seorang isteri yang gila kuasa. Dia melayani suaminya
sebagai tawanan atau sebagai kanak-kanak yang kecil. Dia mahu semua
keputusannya dipatuhi oleh suaminya dan dia mahu menguasai semua perbelanjaan
rumah tangga. Setiap hari terima gaji dia akan menunggu suaminya di muka pintu
untuk mengambil semua gaji itu dan mengawal semua perbelanjaan-perbelanjaan
suaminya. Setiap kali suaminya pulang dari luar dia akan memeriksa saku
suaminya dan meminta laporan kemanakah suaminya akan membelanjakan wang yang
diambilnya petang tadi. Dia bukan saja mengawal perbelanjaan suaminya, malah
dia menyoal setiap gerak-geri suaminya dan tidak silu-silu mengkritik tindak
tanduk suaminya di depan kawannya. Akibatnya si suami itu menjadi seorang yang
tidak berperibadi, lemah dan lumpuh di dalam segala-galanya. Dia menjadi bahan
ketawa kawan-kawannya dan tentulah suami yang seperti itu tidak mempunyai
kesempatan-kesempatan dan dorongan-dorongan yang wajar untuk hidup dengan lebih
maju dari kedudukannya yang ada sekarang.
( 4 ) Isteri yang suka campur tangan Dia seorang isteri yang bercita-cita
tinggi, tetapi menyalahgunakan kedudukan suaminya untuk melaksanakan cita-cita
itu. Dia mahu suaminya naik pangkat dan merasa kewajipan nutuk campur tangan
agar suaminya cepat naik pangkat. Kerana itu dia membuat hubungan-hubungan
dengan isteri ketua pejabat atau isteri majikan suaminya atau membuat hubungan
lansung dengan ketua pejabat atau majikan itu sendiri dengan tujuan untuk
mempengaruhi mereka agar suaminya mendapat kenaikan pangkat. Ia tidak sedar
bahawa campurtangannya itu merosakkan imej suaminya di mata ketua pejabat atau
majikannya dan menimbulkan kebencian pada mereka. Kadang-kadang hubungan
lansungnya dengan ketua pejabat dan majikan itu menimbulkan tomahan-tomahan
yang menjatuhkan maruah suaminya pada pandangan orang lain
. ( 5 ) Isteri yang boros Dia hidup dengan satu anggapan yang salah iaitu
tugasnya bukan mencari duit, tetapi membelanjakan duit. Tugas seorang suami
ialah mencari duit dan sebagai suami yang tahu harga diri dia harus pandai
mencari duit sebanyak yang diperlukan oleh isterinya. Atas anggapan inilah ia
memboroskan pendapatan suaminya dengan membelikan barang-barang yang mewah dan
mahal seperti alat-alat kosmetik, permaidani, pinggan mangkuk yang tinggi
mutunya, dan pelbagai lagi barang mewah yang tidak diperlukanya. Suami terpaksa
mencari pendapatan dengan mencari kerja-kerja lebih masa atau melakukan rasuah
di pejabatnya untuk membayar bermacam-macam hutang yang meyerabut kepalanya.
Biasanya dia tidak berunding dengan suaminya semasa hendak membeli sesuatu
barang melainkan barang itu sudah sampai di rumah dan di sana dia akan
meletakkan suaminya yang sabar dan lemah itu di depan kenyataan yang pahit.
Akibatnya suami menjadi begitu lemah dan lumpuh. Jiwanya ditekan berbagai-bagai
kerunsingan yang menjejaskan kecekapan dalam menjalani tugas-tugas hariannya
dan tidk lagi mempunyai kesempatan-kesempatan untuk memajukan dirinya.
( 6 ) Isteri sosial Dia seorang isteri yang sentiasa berpakaian cantik.
Dianggap kewajipan utamanya bukan terletak di rumah tangga, malah menghadiri
pertemuan-pertemuan, majlis-majlis keramaian, melawat rumah-rumah teman dan
bergiat dalam berbagai-bagai kegiatan sosial tanpa menghiraukan rumah
tangganya. Dia tidak sempat menghiraukan sarapan pagi untuk suaminya, kerana ia
masih nyenyak tidur akibat balik jauh malam. Suaminya tidak mempunyai pilihan
melainkan terpaksa ikut sama ke mana-mana majlis yang dihadirinya untuk
memperlihatkan keperibadiannya sebagai seorang suami yang bermaruah. Untuk
memenuhi tuntutan-tuntutan hidupnya yang begitu sosial itu dia terpaksa berbelanja
lebih yang memberatkan suaminya. Kemudian dia meyiksakan suaminya dengan
membandingkannya dengan suami-suami sahabatnya yang bergaji besar dan mewah
dengan tujuan agar suaminya juga berusaha mencapai taraf hudup seperti itu.
Oleh kerana suaminya tidak mempunyai asas pelajaran yang sama dengan mereka,
maka sudah tentu pemberangsangan itu sia-sia saja, malah membuat suaminya
semakin lemah dan patah semangat dan berakhir dengan kejatuhan-kejatuhan yang
menyedihkan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
































