"Keistimewaan yang Tuhan berikan kepada wanita terlalu banyaknya". "Kasihnya Tuhan kepada wanita!" Itulah kata-kata yang paling mudah digunakan untuk menggambarkan 'layanan' istimewa terhadap wanita dalam Islam. Sesungguhnya, tidak akan ada mana-mana ajaran, ideologisme atau agama lain yang dapat melayan wanita dengan sebegitu baik sepertimana Islam melayan wanitanya. Malah, kalau bergabung pun kesemua wanita yang cerdik pandai, berharta dan berkuasa di seluruh dunia ini untuk menambah hak dan pengiktirafan buat mereka, mereka pasti tidak akan mencapai taraf kemuliaan serta layanan baik yang Allah SWT tawarkan buat seorang wanita di dalam Islam.
Monday, 27 May 2013
Kasihnya Allah Pada Wanita
"Keistimewaan yang Tuhan berikan kepada wanita terlalu banyaknya". "Kasihnya Tuhan kepada wanita!" Itulah kata-kata yang paling mudah digunakan untuk menggambarkan 'layanan' istimewa terhadap wanita dalam Islam. Sesungguhnya, tidak akan ada mana-mana ajaran, ideologisme atau agama lain yang dapat melayan wanita dengan sebegitu baik sepertimana Islam melayan wanitanya. Malah, kalau bergabung pun kesemua wanita yang cerdik pandai, berharta dan berkuasa di seluruh dunia ini untuk menambah hak dan pengiktirafan buat mereka, mereka pasti tidak akan mencapai taraf kemuliaan serta layanan baik yang Allah SWT tawarkan buat seorang wanita di dalam Islam.
Namun, ramai wanita yang tidak memahami hal ini. Lantaran itu
kebanyakan mereka tertipu oleh nafsu sendiri dan merasa terkongkong dengan
amalan atau larangan tertentu yang digunakan ke atas wanita Islam seperti
amalan menutup aurat, larangan bergaul bebas, poligami, larangan wanita menjadi
pemimpin dan lain-lain lagi. Mereka cukup takut dan gerun dengan kesemua amalan
atau larangan yang dianggap sangat menindas wanita. Walhal kalau dikaji setiap
satu amalan atau larangan itu, mudah sahaja untuk melihat hikmah dan
kebaikannya kepada kaum wanita itu sendiri.
Lalu kita melihat apa yang diperjuangkan oleh pejuang-pejuang hak
wanita ialah mereka kalau boleh tidak mahu sebarang sekatan dikenakan ke atas
mereka. Tentulah ini tidak munasabah. Sedangkan manusia sendiri banyak membuat
peraturan-peraturan serta larangan itu dan ini, atas alasan hendak menjaga
keselamatan diri atau masyarakat awam. Contohnya, dalam soal lalu-lintas,
terlalu banyak peraturan dan larangan yang manusia buat seperti jangan memandu
melebihi had laju, tidak boleh letak kereta di garisan kuning, mesti berhenti
apabila ada isyarat lampu merah, mesti hidupkan lampu selepas pukul 7 malam dan
berbagai-bagai lagi. Kalau dalam bidang sekecil ini pun perlu banyak peraturan
dan larangan, sudah tentulah dalam bidang kehidupan lebih memerlukan lagi, dan
lebih-lebih lagilah kalau skopnya itu jauh lebih luas iaitu untuk keselamatan
dunia dan Akhirat.
Tuhan sebenarnya sangat kasih dan memuliakan kaum wanita. Segala
suruhan dan larangan yang Tuhan kenakan ke atas kaum wanita tidak lain dan
tidak bukan ialah untuk memastikan keselamatan dirinya dan masyarakat dan
sekali-kali bukan untuk menyusahkan mereka. Tetapi, atas hujah dan alasan apa
dakwaan ini dibuat? Mari kita lihat satu persatu pengiktirafan yang diberikan
olehTuhan kepada wanita, sama ada setara langsung atau pun tidak.
i) Gelaran bagi `isteri' di dalam Al Quran
Perkataan yang Allah SWT gunakan di dalam Al Quran untuk menunjukkan
suami atau isteri adalah perkataan yang sama, sedangkan dalam bahasa- bahasa
lain, perkataan untuk suami dan perkataan untuk isteri menggunakan dua
perkataan yang berbeza. Misalnya, dalam bahasa Inggeris, perkataan untuk suami
ialah `husband' manakala perkataan untuk isteri ialah `wife'. Sementara dalam
bahasa Perancis pula, perkataan untuk suami ialah `mari' manakala perkataan
`femme' untuk isteri.
Tetapi di dalam Al Quran, suami dan isteri tidak disebut dua perkataan
yang berbeza `zaujuh' dan `zaujati'. Hanya satu perkataan yang digunakan untuk
kedua-duanya iaitu `zaujuh' yang bermakna `pasangan'. Islam melihat suami dan
isteri adalah pasangan, penutup dan juga pelindung buat yang lain. Mereka
dilihat sebagai sepasang, bukan berasingan. Sudah tentulah ini bermakna yang
kaum lelaki di dalam Islam tidak dianggap lebih mulia daripada kaum wanitanya.
Apabila kita mengatakan sepasang kaca mata, sepasang stokin atau sepasang baju,
tentulah kita menganggap mereka setara dan tidak dapat dipisahkan di antara
satu sama lain. Dan sudah tentulah kita tidak menganggap yang stokin kanan
lebih hebat daripada stoking kiri atau kaca mata kanan lebih baik daripada kaca
mata kiri. Begitulah tamsilannya sepasang suami isteri di dalam Islam seperti
yang tercatat di dalam Al Quran.
Namun, gelaran zaujuh ini hanya diberikan kepada isteri yang sama
beriman. Bagi isteri yang tidak beriman, mereka tidak disebut zaujuh.
Contohnya, isteri Nabi Lut dan isteri Nabi Nuh. Di dalam Al Quran, mereka
disebut 'imraah', kerana isteri sebegini tidak dianggap pelengkap, pelindung
atau penutup kepada suaminya.
ii) Pembelaan Rasulullah SAW Terhadap Wanita
Rasulullah SAW ada banyak menyatakan Hadis-Hadis yang menunjukkan
betapa wanita itu dimuliakan di dalam Islam. Antaranya:
a. "Syurga di bawah telapak kaki ibu." Apakah wanita tidak
rasa mulia dengan Hadis ini?
Mengapa Rasulullah SAW memilih perkataan "di bawah telapak
kaki" dan bukan "di dalam tangan" atau "di sisi"
seorang ibu? Sudah tentu ini sangat menggambarkan mulianya seorang wanita di
dalam Islam. Seorang yang faham tentu akan sangat memandang mulia, menghormati,
membela serta berlumba-lumba untuk berkhidmat dan meng'hamba'kan diri kepada
ibunya (dengan syarat segala yang dibuat itu tidak melanggar syariat). Tidakkah
beruntung menjadi seorang ibu di dalam Islam? Dia tidak akan terbiar dan
dipinggirkan, malah akan sentiasa dibela, dihormati dan dimuliakan oleh
anak-anaknya.
b. "Orang yang paling baik dari antara kamu itu ialah yang paling
baik kepada isi rumahnya, dan aku ini orang yang paling baik dari antara kamu
kepada isi rumahku."
c. "Tidak akan memuliakan perempuan-perempuan melainkan orang yang
mulia, dan tidak menghina akan perempuan-perempuan melainkan orang yang
hina."(Hadis riwayat Ibnu `Asakir)
d. "Bergaullah kamu dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang
sopan. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana
mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan
yang banyak."
e. "Janganlah seorang mukmin lelaki membenci kepada seorang
(isterinya yang) mukminah, kerana walaupun ada satu perangainya yang lelaki itu
tidak suka, tetapi (tentu) ada lain perangainya yang is suka."(Hadis
riwayat Ahmad dan Muslim)
Demikianlah hak-hak istimewa seorang wanita yang diberi oleh Islam. Dalam
satu masyarakat yang bertaqwa, kaum wanita tidak perlu bimbang yang mereka akan
diperleceh, dipermain atau diperkotak-katikkan oleh kaum lelaki, sebaliknya
mereka boleh yakin bahawa pihak lelaki akan sentiasa melindungi, menasihati,
menegur dan membimbing mereka dengan ikhlas.
iii) Bahagian Tubuh Wanita Dianugerahkan Nama yang Mulia
Dalam tubuh wanita, ada satu bahagian yang diberi nana yang begitu
mulia iaitu rahim. Perkataan ini diambil dari nama Tuhan, yang bermaksud `Maha
Penyayang'. Sudah tentulah Tuhan tidak akan memberikan nama yang semulia ini
kepada sesuatu yang hina di sisi- Nya. Sudah tentuTuhan akan memilih sesuatu
yang mulia juga untuk dianugerahkan nama yang begitu mulia. Tuhan tidak berikan
nama yang semulia ini kepada bahagian tubuh lelaki tetapi Dia memberikannya
kepada bahagian tubuh wanita. Rahim inilah yang merupakan penghubung kepada
makhluk. Di dalam rahimlah, wanita menjaga ciptaanTuhan dan memberi makan
kepada apa yang Tuhan ciptakan.
Kaum wanita sepatutnya merasa sangat malu kepada Tuhan kerana memberi
penghargaan yang begitu tinggi kepada mereka. Siapa boleh nafikan kepentingan
rahim untuk kewujudan manusia? Anugerah rahim kepada wanita sebenarnya sudah
cukup untuk membuktikan akan mulianya wanita di sisi Tuhan.
iv) Diberi Pahala yang Berterusan
Wanita disebut `kurang dari sudut agama', tetapi ini bukan bermaksud
yang wanita itu kurang dari sudut iman dan taqwanya. Mereka cuma kurang
bersolat ketika datang haid dan nifas. Namun, oleh kerana di waktu-waktu lain
mereka sentiasa bersolat, maka sepanjang waktu haid dan nifas itu, Tuhan tetap
memberikan juga pahala solat sekiranya mereka dapat bersabar dengan keadaannya
yang tidak selesa itu.
Bayangkan seorang wanita yang baru melahirkan anak. Sudahlah digugurkan
dosa-dosanya seperti seorang bayi yang baru lahir, diberikan pula pahala solat
percuma sepanjang dia dalam keadaan nifas. Dan kalau dia sabar menyusu,
memelihara dan melayan kerenah anaknya pula, makin banyaknya pahala yang Tuhan
sediakan untuknya.
Aduh! Maha Pemurahnya Tuhan kepada wanita. Maha Baiknya Tuhan kepada
golongan yang sering dianggap lemah dan terpinggir ini! Kalaulah wanita-wanita
pejuang hak asasi itu tahu begini sekali ganjaran- ganjaran yang Tuhan berikan
kepada seorang wanita mukminah, pastilah mereka akan meninggalkan perjuangan
mereka. Tidak ada apa-apa lagi hak yang perlu diperjuangkan oleh seorang wanita
mukminah. Yang Tuhan tawarkan itu pun sudah terlampau banyaknya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
































