Wednesday, 22 May 2013

Keselamatan Makanan

0 comments



Tips Keselamatan Makanan

Keselamatan makanan bermaksud makanan yang bersih daripada kuman berbahaya, racun, toksin dan bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan. Keracunan makanan boleh berlaku sekiranya kita mengambil makanan yang tercemar dengan bakteria. Kesannya boleh  dirasai selepas 3 hingga 24 jam yang boleh menyebabkan sakit perut, muntah-muntah dan cirit-birit. Berikut dinyatakan beberapa tips keselamatan makanan:


Pengendalian bahan mentah
Pastikan bahan mentah yang ingin dibeli masih segar atau dalam keadaan baik. Contohnya sayur-sayuran yang tidak bertukar warna, layu, berbau busuk atau berulat. Daging, ikan atau ayam juga perlu dalam keadaan segar. Jangan beli sekiranya ia telah berbau, berubah warna atau berubah tekstur. Seeloknya pulang segera selepas membeli bahan mentah dan makanan yang mudah rosak untuk mengurangkan makanan tersebut terdedah lama pada suhu bilik.


Membeli makanan yang selamat
Baca label makanan yang ingin dibeli, jangan terpedaya dengan label yang hanya menarik pada bungkusan makanan. Teliti bahan-bahan yang terkandung di dalamnya dan pastikan makanan tersebut masih dalam keadaan baik dan belum tamat tarikh luput. Baca juga dengan teliti arahan 'cara penyimpanan' pada label, ia dapat mengelakkan makanan rosak sebelum tamat tarikh luput. 

Jangan  makan makanan dalam kotak atau tin sekiranya ia telah rosak dalam apa juga bentuk. Contohnya seperti penutup kotak retak, terbuka, koyak atau bocor. Jangan makan sekiranya tin telah berkarat, kemek, mengelembung, bocor atau telah tamat tarikh luput.


Pengendalian makanan yang selamat
Makanan yang mudah rosak hendaklah disimpan dalam peti sejuk di ruang yang sepatutnya dengan segera. Untuk mengelakkan pencemaran silang , pastikan makanan mentah seperti ayam, daging, ikan dan sebagainya diletakkan berjauhan daripada makanan yang dimasak. Makanan mentah kering seperti laksa, beras dan sebagainya pula hendaklah disimpan dalam keadaan kering kerana keadaan lembap akan menyebabkan pertumbuhan kulat.


Pengendalian makanan yang telah dimasak
Simpan makanan yang telah dimasak pada suhu yang sesuai bagi mengelakkan pembiakan bakteria. Makanan panas perlu diletak pada suhu yang panas, begitu juga sebaliknya untuk makanan yang sejuk. 

Jangan mencampur adukkan makanan yang telah dimasak dengan makanan mentah di dalam peti sejuk. Makanan yang telah dimasak tetapi tidak dihidang hendaklah disejukkan terlebih dahulu sebelum disimpan dalam peti sejuk bagi mengelakkan peningkatan suhu.





Leave a Reply

Labels