Ini kisah perjumpaan dua orang sahabat yang sudah puluhan tahun berpisah. Mereka amat merindui antara satu sama lain. Mereka berbual, bersenda sambil minum kopi di sebuah kafe. Awalnya topik yang dibicarakan adalah soal-soal nostalgia zaman sekolah dulu, namun pada akhirnya menyangkut kehidupan mereka sekarang ini.
" Mengapa sampai sekarang kamu belum menikah?" ujar Si A kepada Si B yang sampai sekarang masih membujang.
"Sejujurnya sampai sekarang ini saya masih terus mencari wanita yang sempurna. Itulah sebabnya saya masih membujang. Dulu waktu di Utara, saya berjumpa dengan wanita cantik yang amat bijaksana. Saya fikir inilah wanita ideal untuk saya dan sesuai menjadi isteri saya." Kata Si B kepada Si A.
"Namun setelah berkawan dengannya, baru aku tahu bahawa dia sebenarnya amat sombong dan hubungan kami terputus disitu sahaja." Ujar Si B sambil merenung ke depan seolah mengingati sesuatu.
"Kemudian semasa di Ipoh, aku bertemu dengan seorang wanita yang cantik, ramah dan dermawan. Pada pertemuan pertama, aku begitu seronok dan takjub. Hati aku mengatakan bahawa inilah wanita ideal bagi ku. Namun selepas berkawan sebulan, baru aku mengerti bahawa tingkahlakunya yang tidak baik dan tidak bertanggungjawab. Kami berpisah akhirnya." sambil tertunduk mengeleng kepala Si B mengingati kenangan lalunya.
"Kemudian aku berpindah ke JB. Di JB aku telah bertemu dengan wanita yang manis, baik, periang dan pintar. Dia seorang yang sangat menyenangkan bila diajak berbicara dan penuh humor. Tapi dia berasal dari keluarga yang bermasalah dan bersikap materialistik. Aku berpisah juga dengan dia." Ujar Si B sambil menghirup sisa-sisa kopi yang masih ada di cawannya.
"Aku terus mencari, namun selalu bernasib malang dengan setiap wanita yang aku temui. Akhirnya, aku telah berjumpa dengan seorang wanita ideal yang aku idam-idamkan selama ini. Dia cantik, pintar, baik hati, dermawan dan penuh humor. Dia juga sangat prihatin dan sayang kepada orang lain. Aku berfikir bahawa inilah dia pendamping hidup aku yang telah dikirimkan oleh Allah untuk aku." Si B tersenyum mengingati wanita yang berjaya menghuni hatinya.
"Lantas!" sergah Si A yang dari tadi tekun mendengar cerita Si B. "Apa yang terjadi? Mengapa kau tidak terus meminangnya?" Si B terdiam sejenak. Akhirnya dia bersuara perlahan. "Baru aku tahu sekarang bahawa dia juga sedang mencari seorang lelaki yang sempurna."
































