Thursday, 9 May 2013
Persediaan Lelaki Sebelum Bernikah
Persediaan Lelaki Sebelum Bernikah
1. Memiliki aqidah yang sahih
Aqidah yang sahih bermaksud ikatan kepercayaan dan pegangan di antara seorang hamba dan Allah SWT yang terjalin secara benar dan sah disisi agama melalui pertunjuk Al-Quran dan As-sunnah yang sahih. Hal ini menjadi asas dan perkara yang paling penting dan utama dimiliki oleh seorang muslim sebelum melakukan sebarang urusan keagamaan yang lain.
Firman Allah SWT : “Dan janganlah kamu menikahkan orang-orang musyrik dengan wanita-wanita mukmin sebelum mereka beriman. Sesungguhnya hamba lelaki yang mukmin itu adalah lebih baik dari orang lelaki yang musyrik, walaupun dia menarik hatimu. Mereka mengajak ke neraka, sedangkan Allah mengajak kamu ke syurga dan keampunan dengan izin-Nya.” (Al-Baqarah : 221)
Sebelum bernikah dan mendirikan rumahtangga maka hendaklah seseorang anak muda atau lelaki itu berusaha membersihkan aqidahnya dari sebarang kesalahan dan kesilapan dan berusaha memperkukuhkan keimanan dan keyakinannya kepada Allah SWT menurut ajaran Al-Quran dan As-sunnah.
Buah dari aqidah yang benar ialah tauhid yang tulus dan suci serta bersih daripada syirik dan kekufuran. Inilah yang mesti dimiliki sebelum memasuki gerbang pernikahan agar pasangan atau isteri serta ahli keluarga terselamat dari kesesatan dan diredhai oleh Allah SWT.
2. Mempunyai tujuan dan perancangan hidup
Perkahwinan ialah alat atau wasilah dan bukanlah merupakan matlamat hidup seseorang. Apa yang berlaku dalam perkahwinan ialah dua insan menjadi pasangan dan hidup bersama secara halal. Perkahwinan tidak akan mengubah hidup seseorang menjadi lebih baik atau lebih buruk sebaliknya perkahwinan adalah alat yang bergantung kepada cara seseorang itu menggunakannya untuk mencapai sesuatu tujuan.
Daripada Amirul Mukminin, Umar bin Khattab ra yang berkata : Aku mendengar rasulullah salallahu alaihi wasalam bersabda : “Sesungguhnya setiap amal itu dengan niat dan setiap amalan itu dibalas menurut apa yang ia niatkan. Barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan rasul-Nya maka hijrahnya itu ialah kepada Allah dan rasul-Nya dan barangsiapa yang hijrahnya itu untuk tujuan dunia yang akan diperolehinya atau kerana perempuan yang hendak dinikahinya maka hijrahnya itu ialah kepada apa yang diniatkan olehnya.” (hadith riwayat Muslim)
Seperti kereta ia adalah kenderaan yang boleh dipandu ke mana-mana yang kita mahu tetapi kitalah yang mesti menetapkan arah tuju dan destinasinya. Kereta itu tidak boleh bergerak sendiri atau membawa kita ke mana-mana jika kita tidak memandunya atau tidak mengetahui arah tuju yang harus diambil. Perkahwinan ialah seperti kereta yang tidak akan bergerak ke mana-mana tanpa mempunyai hala tuju dan matlamat yang jelas.
Maka adalah penting bagi suami dan seorang bapa untuk memimpin keluarganya menuju ke sebuah destinasi dan matlamat tertentu dengan menggunakan perkahwinan dan keluarganya sebagai kenderaan. Oleh itu sebelum melangsungkan pernikahan hendaklah dipastikan kita memiliki matlamat dan tujuan jelas yang mahu dicapai dari perkahwinan ini agar ianya dapat membantu kita memimpin dan memandu perkahwinan menuju ke matlamat yang dimahukan.
3.Mempunyai asas kekuatan jiwa dan kawalan diri
Kekuatan jiwa bermaksud kekuatan hati dan keperibadian yang dimiliki oleh seseorang yang dapat menyebabkan dia mampu mengawal dirinya dan kuat menghadapi dugaan dan cabaran dalam kehidupan. Antara asas kekuatan jiwa yang paling mustahak untuk dimiliki oleh seseorang lelaki sebelum melangkah ke alam perkahwinan ialah seperti kesabaran dan kawalan diri dari melakukan perkara yang tidak sepatutnya.
Kita perlu memahami bahawa dalam perkahwinan, suami mempunyai kedudukan yang tinggi dan penting. Kebahagiaan isteri dan neraka mereka adalah bergantung kepada sikap suami dan kekuatan peribadi sang lelaki dalam mengawal diri. Jika suami seorang yang pemarah, kaki pukul dan gagal mengawal diri maka banyak bahaya dan kemudharatan dikhuatiri akan menimpa pihak isteri yang boleh mengakibatkan kehancuran rumahtangga dan pelanggaran hukum Allah SWT.
Adalah haram menikahi seorang wanita dengan niat untuk melakukan kemudharatan terhadap dirinya atau dalam keadaan tidak bersedia dan tidak mampu untuk memenuhi keperluannya sehingga menyebabkan kesusahan dan mudharat kepada agama, nyawa, akal dan maruah serta hartanya yang dipelihara oleh Islam. Oleh yang demikian persediaan kekuatan jiwa dan kawalan diri sebelum berkahwin ialah wajib dimiliki oleh setiap lelaki muslim agar diri mereka layak menjadi pemimpin dan ketua keluarga yang berkemampuan menegakkan hukum Allah SWT dalam rumahtangga mereka.
4. Mampu membaca kitab Allah dan sunnah rasul-Nya
Tidak ada petunjuk selain petunjuk Allah dan Rasul-Nya dan petunjuk tersebut hanya akan dapat diperolehi jika kita mampu membaca dan memahami isi kandungan kitab Allah SWT dan sunnah rasul-Nya. Sebagai ketua keluarga, lelaki Muslim bertanggungjawab membawa ahli keluarganya ke jalan Allah SWT dan menyelamatkan mereka dari menjadi bahan bakar api neraka.
Firman Allah SWT yang bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.” (At-Tahrim : 6)
Adalah menjadi syarat yang penting bagi seorang bapa dan wali kepada perempuan untuk memastikan calon suami kepada anak-anak gadis mereka mampu membaca kitab Allah dan boleh merujuk kepada sunnah rasululullah salallahualaihiwassalam. Sekurang-kurangnya dia mampu menguasai bacaan Al-Quran dengan baik dan boleh menjadi Imam dalam keluarganya, mampu membuka tafsir dan merujuk kitab-kitab tafsir atau kitab terjemahan untuk mempelajari maksud-maksud ayat-ayat Allah SWT dan mengambil pelajaran daripadanya.
Juga dia mampu untuk membaca hadith-hadith rasulullah salallahualaihiwassalam dan boleh mencari rujukan dan pelajaran dari hadith-hadith tersebut walaupun dengan bantuan kitab-kitab terjemahan dan buku-buku hadith yang ringkas seperti hadith 40 karya Imam Nawawi atau Riyadhus Solihin bagi mengajarkan ahli keluarganya kehidupan menurut sunnah rasulullah salallahualaihiwassalam.
5. Mengetahui tentang halal dan haram dan cara beribadah (fardhu ain)
Seorang lelaki yang telah mukallaf dan berhasrat untuk bernikah wajib mengetahui perkara yang halal dan haram dalam agama serta cara untuk menunaikan ibadah kepada Allah SWT yang disebut sebagai ilmu fardhu ain sebelum dirinya layak untuk bernikah dan menjadi ketua keluarga. Hal ini amat penting kerana tanpa mengetahui apa yang halal dan haram, bagaimana dia akan mampu untuk membimbing isterinya dan menunaikan kewajipannya sebagai suami mahupun sebagai hamba Allah ?
Hubungan suami isteri seperti apa yang dibenarkan dan diharamkan, cara bersuci, cara solat dan seluruh perkara yang melibatkan halal dan haram menurut Islam perlu diketahui oleh seorang mukallaf sebelum menjejakkan kakinya ke alam perkahwinan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud : “Yang menyuruh mereka mengerjakan yang makruf dan melarang mereka dari mengerjakan yang mungkar dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk dan membuang dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka”. (Al-A’raf : 157)
Apa yang perlu diketahui oleh seorang lelaki itu sebelum bernikah ialah perkara-perkara asas dan hukum halal dan haram yang telah jelas dari Al-Quran dan As-sunnah. Hal ini tidak semestinya dihafal atau dikuasai di dalam kepala tetapi bermaksud dia mampu mencari rujukan, membaca buku atau boleh mendapatkan pengetahuan tentang halal dan haram apabila berdepan dengan sesuatu situasi. Namun adalah lebih baik seorang Muslim itu bersedia dan mengetahui tentang apakah perkara yang dihalalkan dan diharamkan oleh Allah SWT kerana hal itu termasuk dalam perintah untuk menuntut ilmu dan mencari petunjuk.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
.jpg)































