Thursday, 6 June 2013
S Samsudin Selamat Disemadi
S Samsudin Selamat Disemadi
Jenazah seniman Allahyarham S Shamsuddin atau nama sebenarnya, Samsudin Dali, 84, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Chua Chu Kang, Singapura pada jam 11.30 pagi, semalam.
Terdahulu, jenazah Allahyarham dibawa dari rumahnya di West Avenue 6, Bukit Batok ke Masjid Al-Mukminin, Jurong East pada jam 10.45 pagi untuk disembahyangkan oleh kira-kira 200 ahli keluarga dan sahabat.
Turut menziarah Allahyarham yang juga pelawak, pelakon dan penyanyi veteran itu ialah rakan artis seperti M Wari, M Ishak, Rahimah Rahim dan Suhaimi Yusof. Turut hadir Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Md Afendi Hamdan.
Afendi berkata, pemergian Allahyarham yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Sudin disifatkan sebagai suatu kehilangan besar.
"Kita kehilangan seorang tokoh pelakon veteran dan warga Malaysia, Singapura serta seluruh nusantara pasti meratapi pemergian Allahyarham yang terkenal dengan lakonannya yang cukup memberi kesan mendalam.
“FINAS mengucapkan takziah kepada keluarga arwah. Sempena penganjuran Hari Seniman pada 14 Jun ini, FINAS akan mengadakan majlis tahlil untuk Allahyarham," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediaman Allahyarham.
Afendi berkata, Ahli FINAS, Datuk Mustapha Maarof bersama rakan Allahyarham, Datuk Aziz Satar turut menziarah dan menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada keluarga Allahyarham, kelmarin.
Anak keempat Allahyarham, Arif Samsudin, 50, berkata, masyarakat seluruh rantau kehilangan insan seni berharga dalam industri hiburan. Tetapi, katanya, dia kehilangan seorang ketua keluarga yang amat disanjungi.
"Saya bersyukur ayah dijemput Allah SWT dengan cara yang tenang. Saya akan sentiasa mengingati pesanan Allahyarham supaya terus melakukan sesuatu kerja dengan bersungguh-sungguh.
"Kami sekeluarga berterima kasih kepada peminat dan media massa di Malaysia yang banyak memberi sokongan kepada arwah. Kami berharap mereka akan terus sedekahkan doa untuk rohnya," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)































