Wednesday, 9 May 2012
Persandingan bersejarah Watie, Azza
JARANG kita saksikan dua artis disandingkan di atas satu pelamin
secara serentak. Hakikat ini terjadi kepada anggota kumpulan Elite,
Watie dan Azza yang selamat melangsungkan majlis persandingan mereka
pada 1 Mei lalu.
Majlis yang sederhana tapi meriah dengan kehadiran keluarga terdekat
kedua-dua pasangan mempelai itu diadakan di kediaman Setiausaha Akhbar
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk
Ruhaidini Abd. Kadir di Bandar Baru Bangi, Selangor.
Sebelum ini, Watie atau nama sebenarnya Norwati Sadali, 35, bernikah
dengan pasangannya yang merupakan bekas penyanyi kumpulan Exist,
Zulkifli Daud atau Joey, 38, pada tarikh 22 Disember tahun lalu di
rumahnya di Bukit Antarabangsa, Kuala Lumpur.
Azza atau nama sebenarnya Nor Azzarima Zawari, 34, pula bernikah
dengan pasangannya, Azlan Zulaily, 25, di Masjid Bukit Antarabangsa,
Kuala Lumpur pada 1 April lalu.
Dedah tarikh nikah
Menurut Watie, majlis itu sememangnya ditunggu-tunggu ramai pihak
memandangkan sebelum ini dia menjanjikan akan mendedahkan tarikh sebenar
pernikahannya dengan Joey yang selama ini menjadi tanda tanya.
“Pada mulanya saya ingin mengumumkan perkara ini pada tarikh 7 Julai
sempena persandingan saya sekali lagi dengan Joey, tapi adalah lebih
elok untuk saya khabarkan berita ini lebih awal,” katanya.
Kontroversi hubungan Watie dan Joey mula tercetus apabila mereka
didakwa menjalin hubungan cinta sejak bertemu ketika penggambaran drama
bersiri Blues Pasar Tani pada Mac tahun lalu di Muar, Johor.
Joey berpisah dengan bekas isterinya, Noraini Mohamad Nasir, pada 8
Ogos tahun lalu dan dikurniakan seorang anak perempuan, Zidani, 5,
manakala Watie pula mempunyai seorang anak lelaki, Ahmad Afif Danial, 8,
hasil perkahwinan sebelum ini.
Watie dan Joey akan bersanding sekali lagi pada 7 Julai ini di Mydin
Subang Jaya, Selangor sempena festival perkahwinan yang berlangsung pada
waktu itu.
“Jemputan kali ini terhad, kami minta maaf banyak-banyak, Insya-Allah pada 7 Julai nanti kami menjemput semua pihak hadir sama.
“Pihak penganjur sebenarnya yang mahukan ada persandingan pasangan
pengantin sebenar ketika festival pengantin itu kelak. Pada hari itu
akan ada adat istiadat lengkap perkahwinan,” tambah Watie.
Ditanya mengenai majlis pernikahan Watie dan Joey yang khabarnya
dijalankan secara mengejut, jawab Joey, semuanya telah dirancang sebulan
awal bersama keluarga dan adik-beradik Watie.
“Majlis akad nikah di rumah Watie hanya diketahui oleh saya dan
keluarga kedua-dua belah pihak. Sengaja saya rahsiakannya daripada
pengetahuan Watie supaya perkara itu tidak nampak terlalu serius,”
ujarnya.
Watie hanya diberitahu oleh kakaknya sejam sebelum rombongan majlis
bertandang ke rumahnya. Jadi sebaik mengetahui bahawa dia akan bernikah
dalam masa sejam, dia hanya mengenakan pakaian dan solekan serba
ringkas.
“Perasaan ketika itu bercampur-baur! Tak boleh marah dan tak boleh
menangis. Memang sebelum ini Joey ada melamar saya ketika sambutan hari
jadi (21 April 2011) tapi tidak sangka pula dia buat kejutan sebegitu
sekali lagi sewaktu kami mahu bernikah,” katanya yang diwalikan oleh
Mohd. Norazly Sadali.
Pasangan Watie dan Joey sebelum ini telah memilih lokasi Pulau Redang, Terengganu untuk lokasi bulan madu selepas bernikah.-kosmo
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
































