Thursday, 30 May 2013
3R Kini Kembali
3R Kini Kembali
Pasti ramai yang masih ingat dengan rancangan "3R" (Respek, Relaks, Respon) yang mengetengahkan isu-isu berkaitan kaum hawa dan pernah dihoskan oleh Azah Yasmin Yusof, Rafidah Abdullah, Low Ngai Yuen, Kartini Ariffin dan Celina Khor. Selepas 13 tahun tidak bersiaran, "3R" bakal kembali dan menampilkan pengacara baru.
Menurut Penerbit Eksekutif Bersama, Red Comunication Sdn Bhd, Lina Tan berkata, menerusi uji bakat bagi mencari personaliti baru untuk mengacarakan rancangan tersebut, pihaknya akan mengadakan sebuah program realiti khas iaitu "Projek 3R" di mana seramai 12 orang finalis dipilih menyertai ke program itu dan hanya tiga peserta akan menjadi pemenang sebagai hos baru "3R".
"Kami ingin mencari wanita muda yang mempunyai pendirian, idea dan sentiasa peka dengan isu-isu sosial. Bukan sekadar rupa paras semata-mata," jelasnya. Tambah Lina, sebagai generasi muda yang bertanggungjawab dalam pembangunan kemasyarakatan, hos baru yang dicari itu perlu berani menyahut cabaran dan sentiasa memperbaiki kelemahan diri.
Sementara itu, penerbit eksekutif "3R", Datin Paduka Marina Mahathir berkata, walaupun program ini sudah lama tidak aktif, namun dia percaya "3R" masih lagi relevan untuk tontonan remaja kini.
"Dalam program ini kita sering membincangkan isu-isu sosial khususnya berkaitan kaum wanita dan saya rasa masalah yang dilalui kaum wanita dahulu dan sekarang tidak banyak bezanya. Cuma dari segi pendekatannya sahaja yang berbeza, di mana kebanyakannya lebih banyak berkaitan dengan unsur-unsur siber."
Tambah Marina lagi, pihaknya juga akan menyediakan ruang untuk penonton memberi pendapat atau meluahkan masalah menerusi laman web serta Facebook. Bagi yang berminat untuk menyertai pencarian hos "3R", layari laman web www.3r.com.my untuk pendaftaran dan maklumat lanjut.
"Projek 3R" akan mula disiarkan pada setiap hari Sabtu, jam 6 petang bermula 24 Ogos akan datang. Manakala musim terbaru "3R" akan mula bersiaran pada 20 Oktober 2013, setiap Ahad pukul 7.30 petang. Kedua-dua rancangan ini akan disiarkan di TV3.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
































