Wednesday, 8 May 2013

Buang Ego Lelaki

0 comments



Buang Ego Lelaki

Tanggapan mengatakan lelaki yang melakukan tugas wanita seperti memasak, membasuh baju dan menjemur pakaian kurang macho atau hilang sifat kejantanan dianggap kurang tepat dan tidak lagi relevan pada zaman moden ini.

Berbeza pada zaman dulu apabila isteri tidak bekerja dan hanya bertanggungjawab menguruskan suami dan anak-anak, kini faktor persekitaran seperti kos hidup yang tinggi serta ekonomi keluarga yang kurang kukuh menyebabkan isteri terpaksa keluar mencari nafkah bagi meringankan bebanan suami. Apabila ini berlaku, ada suami beranggapan mereka harus membantu isteri melakukan kerja rumah bersama-sama.

Bapa kepada tiga cahaya mata, Muhammad Ezham Hussin, 33, berpendapat kehidupan hari ini apabila kedua-dua pasangan berkerja dan sibuk dengan tugasan di pejabat menyebabkan kerja rumah tidak boleh dilakukan isteri saja. Keadaan ini berbeza dengan wanita pada zaman dulu apabila kebanyakan ibu menjadi suri rumah sepenuh masa jadi semua kerja rumah mampu diuruskan mereka. 

Menyedari isterinya, Anisah Jasman, 33, yang bekerja sebagai guru di Kajang sentiasa sibuk bagi memenuhi aktiviti di sekolah terutama pada Sabtu serta melakukan semakan kerja sekolah pada waktu malam, Ezham membantu isterinya melakukan perkara yang mampu meringankan bebanan seperti memasak, membasuh baju dan menjaga anak.

“Saya perhatikan isteri sangat sibuk terutama pada waktu malam, jadi atas kesedaran ingin meringankan tugasnya, saya menolong menyelesaikan sesetengah perkara seperti memasak, mengemas rumah, menjaga anak dan membasuh pakaian,” katanya.

Ezham gemar memasak kerana isteri dan anak-anak mereka, Imtiyyaz Umairah, 6, dan Muhammad Umair Luqmann, 5, gemar menikmati masakannya terutama pasta. Tambah pula apabila masing-masing tidak cerewet dalam soal makanan dan makan apa saja yang disediakan. 

“Memang saya gemar menyediakan masakan Barat seperti pasta dan spageti kerana isteri dan anak-anak menyukainya. Melihat mereka makan dengan penuh selera, saya semakin bersemangat menyediakan hidangan untuk keluarga,” jelasnya yang bertugas sebagai jurugambar di Universiti Putra Malaysia.

Dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan disiplin, anak sulung enam beradik ini menjelaskan, sejak berusia 12 tahun dia sudah biasa menguruskan diri di sekolah berasrama penuh, justeru dia tidak kekok melakukan tugasan harian seperti mengemas dan membasuh pakaian. 

Malah ketika menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia, Ezham selalu membantu ibunya memasak. Ini kemudiannya berterusan selepas melanjutkan pelajaran di pusat pengajian tinggi apabila dia terpaksa menyewa rumah bersama rakan.

“Minat memasak semakin menebal ketika menyewa bersama rakan-rakan kerana saya perlu berjimat cermat bagi mengurangkan kos perbelanjaan. Ketika itu saya hanya menyediakan masakan ringkas dan mudah dimasak saja. Lebih bersemangat apabila ada rakan serumah yang bekerja sambilan sebagai tukang masak di sebuah syarikat katering, jadi saya belajar memasak daripadanya,” ujarnya yang menetap di Semenyih.

Selain pengurusan dapur, selepas kelahiran anak sulung, Ezham meningkatkan kemahiran dalam penjagaan bayi seperti menukar lampin pakai buang, menidurkan serta memandikan anak. Pada mulanya rasa janggal tetapi selepas melakukannya, semuanya berjalan lancar. 

Apabila kelahiran anak kedua, Ezham semakin mahir dalam urusan menjaga anak serta menolong isteri yang ketika itu sedang berpantang. Bagi memudahkan urusan penjagaan anak, mereka kini dihantar ke tadika dan pusat penjagaan kanak-kanak manakala anak ketiga Nurul Izzah Maryam, enam bulan dijaga pengasuh. 

Ezham yang boleh dianggap sebagai bapa moden masa kini menjelaskan, perkahwinan bukan tiket untuk bersenang-lenang dan mengharapkan urusan rumah dilakukan isteri saja terutama apabila isteri berkerjaya. Ada masanya isteri penat dan memerlukan rehat. 

“Jadi salah satu cara menunjukkan rasa kasih kepada isteri adalah dengan meringankan beban kerjanya di rumah. Selain itu persepsi masyarakat yang hanya meletakkan tugas di dapur di bahu isteri perlu diubah kerana tidak bertepatan dengan konsep perkahwinan sebagai perkongsian hidup,” katanya. 

Melihat lelaki ini menguruskan anak daripada memandikan, memakaikan baju serta memberikan susu, dia bagaikan sudah biasa melakukannya. Malah isteri Fairuz Abd Lah, 27, hanya membiarkan suaminya, Khairul Amin Zainal Abidin, 32, melakukan tugas wanita seperti membasuh, menjemur dan melipat pakaian serta membasuh pinggan dan peralatan menyusu anak selain menjaga anak apabila isteri bekerja dan ketika sakit. 

Bapa kepada seorang cahaya mata, Muhamad Faris Amsyar, berusia setahun ini langsung tidak malu dengan tanggapan masyarakat malah melakukannya dengan ikhlas. Baginya pada zaman moden apabila isteri sanggup bekerja bagi menyumbang kepada pendapatan keluarga, sewajarnya suami membantu meringankan tugas isteri.

“Kerjasama dalam rumah tangga ibarat ringan sama dipikul berat sama dijinjing. Dengan adanya sikap saling bantu-membantu, kerja rumah bukan saja dapat disiapkan dengan lancar malah menjamin kerukunan rumah tangga.

“Hal ini amat penting kerana masing-masing bekerja dan memerlukan sikap saling bertolak ansur antara satu sama lain. Sebagai suami, kita tidak boleh berkira.

Buang sikap ego kerana ia tidak akan ke mana. Apa salahnya membantu isteri kerana mungkin dengan bantuan ini akan menggembirakan hatinya melihat suami tidak berkira dalam urusan rumah tangga. Dari sudut lain, isteri juga akan bertambah sayang serta merapatkan silaturahim dalam keluarga,” jelasnya yang melangsungkan perkahwinan pada 31 Januari 2011.

Khairul Amin yang sebelum ini tidak pernah menguruskan bayi mengakui, pada mulanya dia agak kekok apabila diminta memegang bayi pertama mereka. Tetapi melihat wajah comel serta pengorbanan isteri melahirkan zuriat, dia terus berazam menjadi suami yang baik serta bertanggungjawab. 

“Perlahan-lahan saya belajar menguruskan bayi. Dua bulan ketika isteri dalam pantang adalah tempoh genting kerana dari situlah saya memahami betapa sukarnya tanggungjawab isteri terutama selepas melahirkan anak. Kekok memang ada apatah lagi memegang bayi yang ketika itu sangat kecil tubuhnya. 

“Tetapi lama-kelamaan saya semakin terbiasa dan seronok melayan kerenah anak,” jelas-nya yang menjaga isteri pada minggu pertama selepas melahirkan anak termasuk menyediakan makanan dalam pantang. Ia sesuatu yang sangat menyeronokkan kerana Khairul Amin belajar mengenai sesuatu yang tidak pernah dilalui sebelum ini. 

Menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai model terunggul kerana membantu isteri Siti Khadijah dalam urusan rumah tangga, bagi Khairul Amin, suami jangan malas dan bersikap sambil lewa kerana dua sikap ini akan mengeruhkan lagi keadaan rumah tangga. Banyak kes perceraian berlaku kerana tiada persefahaman dalam keluarga. Sifat tolong menolong akan memberikan inspirasi positif kepada anak-anak. 

“Ibu bapa adalah idola terdekat anak-anak. Dalam apa juga keadaan, anak akan mengikut perlakuan ibu bapa. Sekiranya perkara positif ditunjukkan tidak mustahil anak akan belajar sedikit demi sedikit dan mengamalkannya apabila dewasa kelak,” ujarnya yang akan mendidik anak lelaki melakukan kerja rumah, menjaga kebersihan dan mengurus diri sendiri.

Sumber : Harian Metro





Leave a Reply

Labels