Monday, 27 May 2013
Penjagaan Makhota Wanita : Tip Dapatkan Rambut Sihat dan Lebat
Keguguran rambut adalah
masalah biasa yang dialami berjuta-juta individu di seluruh dunia.
Kebanyakannya cenderung memilih rawatan bahan kimia atau krim untuk membendung
masalah itu.
Walaupun majoriti produk atau ubat untuk masalah
ini boleh didapati di kaunter farmasi, ada yang memerlukan preskripsi doktor
kerana segelintir kes bukan hanya membabitkan keguguran rambut tapi lebih
daripada itu.
Ada beberapa produk yang berkesan dalam
mengurangkan atau menghentikan keguguran rambut ini tapi ia memerlukan kos
tinggi serta perlu digunakan secara berterusan untuk hasil berpanjangan.
Namun dengan wujudnya pelbagai maklumat di
Internet, selain kajian terkini pakar kosmetik, masalah ini boleh dikurangkan
dengan beberapa cara antaranya pemilihan produk yang sesuai dengan kulit
kepala, pemakanan seimbang dan penggunaan tumbuh-tumbuhan sebagai bantuan
alternatif.
Berikut beberapa tip untuk mendapatkan rambut
yang bukan saja sihat juga lebat dan menarik.
* Syampu
Antara faktor penyebab utama keguguran rambut
ialah kulit kepala berminyak. Kulit berminyak akan menyebabkan komplikasi
antaranya jerawat, kelemumur dan eritema (keradangan kulit).
Gunakan syampu jenis pembersihan mendalam kerana
ia boleh membantu menyingkirkan sebum dan minyak berlebihan, juga selepas
mencuci rambut, bilas dengan air sejuk.
Kaedah ini bukan saja membuatkan rambut kurang
kusut dan menggerbang tetapi turut menutup pori kulit kepala, sekali gus
mengurangkan pengeluaran minyak dan menyimpan nutrien yang diperoleh daripada
syampu itu.
* Perapi
Perapi amat penting selepas bersyampu kerana ia
membantu menambah lembapan yang hilang disebabkan syampu menyingkirkan semua
yang ada pada rambut dan kulit kepala.
Benar, antara masalah rambut gugur disebabkan
minyak berlebihan tetapi jika diabaikan penggunaan perapi, rambut akan menjadi
kering dan leper.
Caranya ialah lumurkan perapi pada rambut dan
bukannya kulit kepala.
* Rawatan kulit kepala
Majoriti salun rambut menawarkan rawatan ini dan
ramai yang berpuas hati dengan hasilnya. Bagaimanapun, mendapatkan rawatan yang
sesuai dengan keadaan kulit rambut bukanlah kerja mudah kerana tidak semua
rawatan berkesan.
Ia memerlukan beberapa sesi percubaan di
beberapa salun selain memerlukan kos yang banyak untuk melakukannya.
Tapi untuk memudahkan pencarian, cuba ke salun
yang menawarkan rawatan menggunakan bahan semula jadi atau organik dan biasanya
rawatan yang memberikan haruman pudina boleh dikatakan berkesan kerana ekstrak
pudina dapat mengimbangi minyak.
* Perangsang pertumbuhan semula rambut
Sumber alam seperti santan dan lidah buaya sejak
dulu menjadi bahan dalam rawatan kecantikan rambut. Hanya sapukan sedikit pada
kulit kepala, biarkan selama 15 minit dan bilas dengan air sejuk.
Santan dan lidah buaya juga boleh dicampurkan
dengan minyak daun rosemary dan pati bunga lavender. Tumbuhtumbuhan ini dapat
membantu menggalakkan pertumbuhan semula rambut.
Tonik rambut juga antara alternatif mudah yang
boleh didapati di farmasi dan pasar raya. Tapi pastikan ia hanya mengandungi
bahan organik.
* Pemakanan
Tabiat diet atau pemakanan memainkan peranan
penting dalam masalah ini. Sama seperti tubuh, rambut mendapat nutrien daripada
apa yang kita makan.
Untuk mendapatkan hasil rambut sihat, diet
harian perlu mengandungi vitamin E dan zat besi. Sebaiknya minum banyak air,
kurangkan pengambilan garam dan makanan ringan serta lebihkan sayuran.
Lobak, misalnya bukan hanya elok untuk mata
tetapi juga kaya vitamin A yang baik untuk rambut. Buah prun pula padat dengan
zat besi sementara oat kaya serat dan tinggi kandungan zink, zat besi dan asid
lemak omega-6 yang menjadi agen utama pertumbuhan rambut.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
































