Peria Katak atau disebut dalam bahasa Inggeris sebagai Bitter
gourd dan Bitter melon adalah sejenis sayur buah yang
paling pahit di dunia ini ditanam sebagai tanaman makanan.
Nama saintifiknya ialah Momordica charantia dan
ia tergolong dalam famili tumbuhan Cucurbitaceae. Pokok ini adalah sejenis pokok
herba menjalar dan banyak tumbuh di Asia seperti China, India, kepulauan
Nusantara dan Kepulauan Caribbean.
Dikenali sebagai tanaman herba, namun, pokoknya
juga boleh ditanam sebagai tanaman hiasan yang menarik kerana karakter tumbuhan
yang menarik.
Ia mempunyai batang yang lembut, menjalar dan
memanjat dengan melilit menggunakan sulur pautnya dan biasanya ketinggian
pokoknya boleh mencapai sehingga lima meter.
Pokok ini mempunyai akar tunjang serta juga akar
sisi berserabut yang berkembang luas di kawasan sekelilingnya. Daunnya yang
berwarna hijau itu mempunyai tiga hingga tujuh lekuk yang tumbuh berselang-seli
di batangnya. Pokoknya mengeluarkan bunga jantan dan juga bunga betina yang
berasingan berwarna kuning.
Buahnya pula mempunyai kulit yang menggerutu
menyerupai badan katak puru. Mungkin itulah sebabnya ia dinamakan peria katak.
Buah muda berwarna hijau dan apabila masak berwarna kekuningan atau jingga
kemerahan. Bentuknya memanjang dengan berat di antara 300 hingga 600 gram
sebiji. Rasanya pahit dan sering dimakan ketika masih segar, muda dan mentah.
Bagaimanapun, buah ini juga boleh dimasak
pelbagai masakan yang enak namun ia jarang dicampurkan dengan sayuran lain
kerana rasa pahitnya yang kuat.
Rawat kencing manis
Namun, rasanya yang pahit itu boleh dikurangkan
dengan merendam buah yang dipotong itu di dalam air garam dan dibilas sebelum
dimakan atau dimasak.
Peria katak sering digunakan dalam masakan Cina
seperti digoreng dengan daging dan juga digunakan untuk masakan sup. Rasanya
yang pahit itu juga dikatakan mempunyai pelbagai kegunaan sebagai ubat
tradisional di serata dunia.
Ia dikatakan berpotensi untuk merawat jangkitan
HIV manakala dalam perubatan Ayurveda India peria katak sering dianggap sebagai
sejenis Insulin tumbuhan, oleh itu ia amat disyorkan untuk pesakit kencing
manis.
Di Filipina, teh peria katak digunakan dengan
amat berjaya untuk merawat kencing manis dan kawalan gula darah bagi golongan
miskin.
Teknik penjagaan
1.Siram air dua kali sehari pagi dan petang pada
hari panas. Ini perlu dilakukan supaya bahan tanamannya tidak kering untuk
mengelakkan daun, bunga atau putik buahnya layu dan gugur secara tiba-tiba.
Siram bila perlu sahaja.
Tutup bahagian atas medium tanaman di sekeliling
pokok dengan bahan sungkupan untuk mengelakkannya cepat kering
2. Dedahkan kepada banyak cahaya matahari bagi
menggalakkan ia berbunga dan berbuah lebat.
3.Gunakan baja organik seperti baja najis ayam
atau kelawar iaitu yang terbaik untuk membajai pokok ini ketika membesar hingga
berbunga dan berbuah. Baja kimia juga sesuai untuknya.
- Gunakan baja yang mengandungi kandungan
nitrogen (N) yang tinggi atau berwarna hijau untuk pertumbuhan daun dan pokok
yang sihat.
- Gunakan baja yang mengandungi kandungan fosfat
(P) atau berwarna merah untuk pertumbuhan bunga yang banyak manakala baja yang
mengandungi kandungan kalium (K) yang tinggi atau berwarna biru pula adalah
untuk buah yang banyak dan cantik.
4.Tegakkan kayu pancang untuk memudahkan pokok
ini memanjat agar ia dapat tumbuh subur dan berbuah.
Kaedah pembiakan
- Pokok peria katak mudah dibiakkan menggunakan
biji benih yang boleh didapati dari buahnya yang telah masak ranum.
Kaedah penanamannya adalah seperti berikut:
- Semai dulu biji benih dalam medium tanaman
untuk pokok berpasu ialah dalam nisbah 3:2:1 (Tanah peroi: Bahan organik: Pasir
sungai). Gunakan juga medium tanaman ini untuk penanamannya.
- Apabila anak pokok telah tumbuh beberapa helai
daun bolehlah dicabut. Berhatihati ketika mencabut dan pastikan terdapat medium
tanaman yang masih melekat pada akarnya. Ini bagi memastikan agar anak pokok
dapat terus hidup subur. Tanam sama ada dalam pasu atau di tanah untuknya
tumbuh membesar.